KUALA LUMPUR: Pengundi Sarawak lebih mengenali calon berdasarkan personaliti berbanding parti politik sekali gus menjadi antara faktor landskap politik negeri itu yang menyaksikan parti tempatan mendominasi persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berkata, keadaan itu turut mengambil kira kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) yang masih baharu di kawasan berkenaan.
Ali yang juga merupakan Ahli Parlimen dari PN berkata, pengundi di kawasan Krian, misalnya, belum begitu memahami parti-parti yang membentuk gabungan berkenaan, sebaliknya lebih mengenali individu yang bertanding.
“Di kawasan Krian sebenarnya Bersatu masih baharu. PN pun baru pada muncul logo tersebut pada PRU, jadi mereka tidak berapa faham.
“Tetapi mereka tahu siapa saya. Ia lebih kepada individu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tiga parti komponen PN iaitu Pas, Bersatu dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak.
Mengulas keputusan Bersatu untuk tidak menyertainya, Ali berkata, beliau akan akur dengan pendirian parti.
Katanya, beliau juga tidak akan bertanding dalam PRN berkenaan dan akan memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya (juga) sudah umumkan Bersatu tidak bertanding dan kita akan ikutlah.
“Saya kena fokus untuk PRU yang akan datang. Kita tidak tahulah, itu masih lama lagi,” katanya. – UTUSAN











