KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) meskipun bekas Ahli Parlimen itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan hasrat untuk kembali bertanding.
Azahari yang juga wakil Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, kenyataan Mohamed Nazri itu bagaimanapun merupakan pendirian peribadi dan tidak mewakili Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, hasrat mempertahankan kerusi berkenaan dibuat berdasarkan kedudukannya sebagai penyandang ketika ini.
“Itu dia punya pandangan peribadi. Sebab itu bukannya daripada parti UMNO ataupun pihak BN.
“Sudah dua kali dia cakap. Saya pun tak ada masalah. Saya pun akan pertahankan sebab saya penyandang.
“Saya nampak mungkin ada sesuatu yang dia (Nazri) lihat sebab kita tahu kalau gabungan gelombang biru ni, mana-mana calon pun akan boleh menang.
“Jadi adalah dia nampak ke arah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan Nazri menyifatkan hasratnya untuk kembali bertanding di Parlimen Padang Rengas pada PRU16 bukan tindakan ‘pusingan U’, sebaliknya bertujuan merampas semula kerusi tradisi BN yang kini dikuasai PN.
Nazri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Rengas selama 19 tahun berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan BN mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15, selain mahu mengembalikan maruah UMNO selepas tewas di Parlimen itu serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah Azahari, satu undian yang dijalankan dalam kumpulan Facebook Padang Rengas yang mempunyai hampir 20,000 ahli, majoritinya penduduk kawasan itu, menunjukkan beliau mendapat sokongan tertinggi.
Katanya, undian berkenaan menyaksikan beliau memperoleh 64 peratus, manakala Nazri hanya mendapat lapan peratus dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim sebanyak 13 peratus.
Azahari berkata, kemunculan Nazri di kawasan berkenaan bukan perkara baharu kerana bekas Ahli Parlimen itu sudah mula turun padang sejak tahun lalu bersama Ketua Wanita UMNO.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kepimpinan tertinggi PN pada dasarnya bersetuju mengekalkan penyandang kerusi dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, prinsip sama turut diguna pakai pada dua PRN, sekali gus memberi petunjuk bahawa pendekatan berkenaan menunjukkan penerimaan. – UTUSAN











