SHAH ALAM: Sebarang usaha atau rundingan bagi menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dalam sebuah gabungan yang besar perlu dibincang secara tertutup dalam kalangan parti-parti komponen.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun tiada sebarang perbincangan ketika ini dibuat berhubung perkara itu di peringkat partinya, namun beliau yakin setiap pimpinan mempunyai pandangan tersendiri.
“Itu pandangan (parti) AMANAH. Masing-masing ada pandangan, ada cadangan. DAP juga ada pandangan. Tetapi saya yakin kalau kita memberikan cadangan secara terbuka berbincang melalui media, dia tidak akan mencapai hasrat ataupun objektif yang diinginkan.
“Jadi, yang paling baik segala cadangan dan juga perbincangan ini diadakan terlebih dulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen DAP Selangor, di sini hari ini.
Semalam, kehadiran Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) 2026 mencuri perhatian selain disambut dengan tepukan serta sorakan daripada perwakilan apabila namanya diumumkan oleh Setiausaha Agung Amanah merangkap pengarah konvensyen itu, Muhammad Faiz Fadzil.
Kehadiran Ketua Pembangkang Selangor yang mengenakan pakaian berwarna biru turut diraikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang turut mengambil kesempatan beramah mesra.
Selain itu, Anthony Loke turut memaklumkan partinya sentiasa terbuka bagi membincangkan strategik menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan mengharapkan kesemua parti komponen mengumpulkan kekuatan terbaik untuk bersiap sedia.
Katanya, bagaimanapun Majlis Presiden PH perlu berbincang terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan termasuk isu menggunakan logo masing-masing
“Namun, cadangan-cadangan seperti itu sepatutnya dibincangkan terlebih dulu dalam majlis presiden kepimpinan.
“DAP akan memberikan pandangan kita dan sudah tentu kita juga ada cadangan kita bagaimana kita bergerak ke depan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Cadangan itu boleh dibincangkan,” katanya.











