Qistina Khaled pilih alam semula jadi sebagai terapi diri - Utusan Malaysia

Qistina Khaled pilih alam semula jadi sebagai terapi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesibukan menjalani penggambaran tidak menghalang pelakon, Qistina Khaled untuk meluangkan masa melakukan aktiviti mendaki dan mandi air terjun bagi merehatkan minda serta menghilangkan kepenatan selepas bekerja.

Menurut Qistina, aktiviti yang mendekatkannya dengan alam semula jadi itu menjadi antara pilihan utama setiap kali mempunyai waktu terluang daripada jadual kerjaya seninya yang padat.

“Saya memang sukakan alam semula jadi. Bagi saya, persekitaran hutan boleh membantu menyegarkan kembali fikiran dan memberikan tenaga yang positif kepada diri kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Udara dan suasana di dalam hutan sangat berbeza berbanding aktiviti yang kita lakukan di rumah atau gimnasium. Kalau mahu menghilangkan kepenatan atau mengosongkan fikiran, saya akan pergi ke tempat-tempat seperti itu.

“Saya suka apabila dapat menghidu bau hutan, mendengar bunyi aliran air, memijak rumput dan berjalan di atas batu. Semua pengalaman itu memberikan kesan yang baik kepada tubuh saya,” katanya kepada Pancaindera.

Berkongsi lanjut, Qistina berkata, aktiviti berkenaan bukan sekadar hobi, sebaliknya menjadi salah satu cara untuk dirinya mendapatkan semula tenaga selepas sibuk dengan komitmen lakonan.

“Kalau ada masa cuti, memang saya akan pergi. Aktiviti itu menjadi salah satu cara untuk saya menyegarkan semula diri, mendapatkan tenaga baharu dan menenangkan fikiran. Orang sekarang panggil ‘healing’. Saya tidak kisah sama ada hujung minggu atau hari bekerja, asalkan ada masa terluang, saya akan cuba selitkan aktiviti seperti ini,” jelasnya.

Lebih mengagumkan, pelakon berusia 22 tahun itu mengakui lebih selesa melakukan aktiviti mendaki atau mandi air terjun secara bersendirian berbanding menyertai kumpulan yang besar.

“Kadang-kadang saya pergi seorang diri, kadang-kadang bersama seorang atau dua orang kawan yang mempunyai minat sama.

“Saya sebenarnya tidak begitu suka pergi beramai-ramai. Bukan bermaksud tidak mahu bergaul, tetapi bagi saya, masa seperti itu adalah peluang untuk bersendirian. Itulah waktu untuk saya berehat, menenangkan fikiran dan menikmati masa tanpa gangguan sesiapa.

“Kalau tempat itu tidak terlalu ekstrem atau jauh ke dalam hutan, saya masih berani pergi seorang diri. Tetapi kalau kawasan terlalu tinggi atau jauh ke dalam, biasanya saya akan bawa kawan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Qistina turut menasihat­kan individu yang berminat melakukan aktiviti sama supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, terutama ketika mendaki secara bersendirian.

“Kalau mahu pergi seorang diri, pastikan kawasan itu selamat. Jangan sengaja mencuba pergi ke kawasan sungai yang terpencil atau tempat yang tidak ada orang.

“Seelok-eloknya pergilah bersama teman. Kalau ada kawan-kawan yang mempunyai minat sama, aktiviti seperti ini tentu lebih menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama,” tambahnya.
Pun begitu, Qistina turut menyimpan impian untuk menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah sekiranya diberikan peluang dan kelapangan masa.

Mengakui belum pernah menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu itu, dia teruja untuk mencabar kemampuan diri menerusi pengalaman mendaki gunung berkenaan.

“Saya memang sangat menantikan peluang untuk mendaki Gunung Kinabalu. Bagi saya, ia satu pengalaman dan pengembaraan baharu yang sangat menarik.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan cuaca dan tahap kesejukan apabila berada di puncak. Tambahan pula, gunung itu sangat tinggi.

“Jadi, saya melihatnya sebagai satu cabaran besar yang ingin dicuba. Kalau ada rezeki dan kesempatan, insya-Allah saya mahu mendaki Gunung Kinabalu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini