Penyanyi baharu, Hazreen Amreena, tidak mahu kemunculannya dalam industri muzik sekadar mencipta populariti sementara, sebaliknya dia berhasrat membina nama menerusi bakat berkualiti, keunikan vokal dan karya yang mampu meninggalkan kesan dalam hati pendengar.
Mengakui populariti menjadi antara perkara yang turut dikejar setiap anak seni, Hazreen percaya bakat serta keperibadian baik merupakan asas penting untuk memastikan kelangsungan kerjaya dalam industri hiburan.
Baginya, populariti yang tercipta menerusi fenomena tular di media sosial belum tentu menjamin seseorang artis akan terus diingati, apatah lagi jika tidak disusuli kualiti persembahan dan karya yang konsisten.
“Untuk mendapatkan populariti yang berkekalan, sudah tentu kita perlu menampilkan bakat yang berkualiti. Saya mahu mencapai populariti yang kekal sepanjang zaman seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan artis-artis legenda lain.
“Saya tidak mahu populariti yang hanya bersifat sementara. Bagi saya, untuk mendapatkan populariti yang berkekalan, kita perlu mempunyai bakat berkualiti serta sikap yang sangat baik bagi mencapai kejayaan berpanjangan.
“Untuk mendapatkan populariti sementara sekarang, caranya mudah. Sesuatu yang tular di media sosial pun sudah boleh dianggap popular. Namun, untuk memastikan orang ramai mengingati karya dan mengenali siapa diri kita, perkara itu agak sukar.
“Contohnya, orang ramai mengenali Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana suaranya yang sangat merdu dan bakatnya yang luar biasa. Jadi, apa-apa pun, semuanya kembali kepada bakat berkualiti untuk mendapatkan populariti yang berkekalan,” katanya.
Mengulas persaingan dalam industri muzik yang semakin mencabar dengan kemunculan ramai penyanyi baharu, Hazreen tidak menafikan usaha membina nama bukanlah sesuatu yang mudah, terutama dalam era media sosial yang membuka ruang kepada lebih ramai individu mengetengahkan bakat.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan persaingan, sebaliknya percaya setiap penyanyi mempunyai rezeki dan kelompok pendengar tersendiri.
“Pada saya, rezeki setiap orang sudah tertulis. Tidak ada apa-apa yang perlu kita paksa untuk memastikan sesuatu perkara itu berlaku. Cuma, kita boleh terus berusaha sekuat mungkin sehingga berjaya mencapai apa yang kita inginkan.
“Memang agak sukar untuk bersaing pada masa sekarang, lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial dan kemunculan penyanyi baharu yang semakin ramai. Jadi, saya berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap orang mempunyai rezeki masing-masing.
“Saya berharap akan ada peminat yang menyukai setiap karya yang saya keluarkan. Seperti sekarang, saya menghasilkan lagu balada dan lagu itu mempunyai peminatnya sendiri. Saya sangat menghargainya.
“Namun, jika ada yang kurang menggemari karya yang saya keluarkan sekarang, mungkin suatu hari nanti kita boleh mencuba sesuatu yang menepati cita rasa mereka dan menghasilkan sesuatu yang baharu. Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Hazreen mengakui peluang bekerjasama dengan penyanyi dan pengasas syarikat rakaman, Shiha Zikir, menjadi antara titik penting dalam perjalanan seninya, khususnya dari segi pembentukan identiti dan teknik nyanyian.
Menurutnya, bimbingan Shiha banyak membantunya memahami bahawa menyampaikan sesebuah lagu bukan sekadar bergantung kepada kekuatan vokal, sebaliknya memerlukan penghayatan serta pendekatan yang bersesuaian dengan karakter lagu.
Malah, pengalaman menyertai program realiti Gimme The Mic membuka matanya mengenai kepentingan mengawal emosi dan gaya penyampaian ketika menyanyikan lagu balada.
“Sebenarnya, saya sangat bersyukur kerana Shiha banyak membantu saya. Seperti yang Shiha katakan, saya boleh menyanyi dan mempunyai suara yang baik. Namun, dari segi gaya nyanyian yang sesuai dengan setiap lagu, masih banyak perkara yang saya belum tahu.
“Ketika menyertai Gimme The Mic, barulah saya tahu cara sebenar menyampaikan sesebuah lagu. Contohnya, lagu balada tidak semestinya perlu dinyanyikan dengan emosi yang terlalu sedih. Kadangkala, menyampaikan lagu seperti sedang bercerita pun sudah memadai.
“Shiha memang melatih gaya nyanyian saya dengan sangat baik dan teliti. Untuk lagu Teruskanlah ini pun, Shiha sendiri berpesan supaya ada bahagian yang tidak perlu dinyanyikan terlalu meleret. Sebaliknya, pendekkan penyampaian seolah-olah saya sedang bercerita.
“Setiap aspek gaya nyanyian memang banyak dibimbing oleh Shiha. Saya belajar bagaimana hendak memberikan penekanan pada bahagian tertentu dan mengawal penyampaian supaya lagu itu sampai kepada pendengar dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengakui tetap berdepan perasaan takut dan tekanan untuk berhadapan persaingan, Hazreen bagaimanapun tidak mahu membiarkan kebimbangan itu menjadi penghalang kepada impiannya.











