SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bagi membincangkan status Ahli Parlimen Seremban itu yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Perkara itu disahkan Anthony Loke yang memaklumkan tiada pertemuan dengan Anwar selepas beliau meninggalkan kabinet.
Beliau berkata, bagaimanapun sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara itu wajar dirujuk terus kepada Perdana Menteri kerana segala keputusan muktamad berada dalam bidang kuasa pemimpin berkenaan.
“(Pertemuan dengan Perdana Menteri) tidak ada. Kena tanya Perdana Menteri. Saya sudah pun meletak jawatan (sebagai Menteri Pengangkutan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen DAP Selangor di sini, hari ini.
Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 12 November lalu, Anwar dilaporkan berkata belum menerima peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Sebaliknya, beliau mahu mengadakan rundingan semula dengan Loke sekiranya pemimpin DAP itu tetap berhasrat meninggalkan Kabinet.
Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, bermula pada hari sama. – UTUSAN











