Tunggu DAP keluar dahulu, baru saya jawab - Abdul Hadi

Tunggu DAP keluar dahulu, baru saya jawab – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pas hanya memberikan jawapan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) sekiranya DAP terlebih dahulu dikeluarkan daripada gabungan itu

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau hanya akan memberikan jawapan berhubung kemungkinan itu selepas DAP benar-benar dikeluarkan daripada gabungan berkenaan.

“Tunggu dia keluar dulu baru saya jawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Abdul Hadi, perselisihan antara Pas dengan PH selama ini berpunca daripada perbezaan dasar, khususnya berkaitan dasar negara dan Perlembagaan yang menyentuh kepentingan serta hak orang Islam.

Menurutnya, pendirian DAP yang dikaitkan dengan cadangan pindaan Perlembagaan, termasuk pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), menjadi antara perkara yang menimbulkan perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak.

“Saya dah sebut tadi, perselisihan kita dengan Pakatan Harapan ini perselisihan dasar. Perselisihan kerjasama yang melibatkan dasar, dasar negara yang melibatkan Perlembagaan.

“Bila DAP dan parti-parti buat kenyataan nak pinda Perlembagaan hak Islam, termasuklah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Ini perkara yang menyentuh politik orang Islam dan dia tak ubah lagi sikap dia itu,” katanya.

Mengulas kemungkinan DAP dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan, beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP termasuk Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, menyifatkan perkara itu sebagai melampaui batas.

“Itu mereka tanggung sendirilah. Mereka buat, mereka tanggung. Bukan hal kita. Apabila ada adab, mereka tak jaga adab,” tegasnya.

Mengenai persediaan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi PRU16, beliau berkata, Pas sentiasa bersedia berkompromi dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN), termasuk berkaitan pembahagian kerusi seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya sebelum ini.

Katanya, Pas pernah menerima status quo 21 kerusi di Negeri Sembilan serta memilih untuk bertanding di kerusi yang berpotensi dicabar, termasuk ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, perbezaan pandangan di peringkat negeri, termasuk dalam kalangan kepimpinan negeri-negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, tidak akan menjejaskan keputusan utama kerana urusan pembahagian kerusi ditentukan kepimpinan pusat parti.

Sementara itu, mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bukan Islam daripada Gerakan di Terengganu, beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan di peringkat nasional bagi membuktikan Pas tidak bersikap perkauman.

Beliau menjelaskan penglibatan wakil bukan Islam termasuk daripada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), dalam pentadbiran negeri tidak terhad kepada DUN sahaja, sebaliknya turut diberi ruang melalui jawatan dalam majlis daerah, majlis perbandaran serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini