China medan uji ketahanan taktikal Speedy Tigress

China medan uji ketahanan taktikal Speedy Tigress

PASUKAN hoki wanita kebangsaan ketika beraksi menentang India di Bhopal, kelmarin. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan dengan China dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal, hari ini, menjadi medan penting buat skuad hoki wanita kebangsaan memperbaiki kelemahan taktikal selepas gagal mengekalkan momentum ketika berdepan India.

Kekalahan 1-4 kepada tuan rumah dalam aksi pembukaan memperlihatkan Malaysia mampu memberi saingan pada awal permainan apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas dua suku, namun situasi berubah selepas rehat apabila India mengambil alih permainan dengan tiga gol tambahan.

Ketua jurulatih negara, CR Kumar mengakui persembahan pemain pada awal perlawanan memuaskan, tetapi menegaskan aspek teknikal dan taktikal yang dibincangkan dalam mesyuarat pasukan perlu difahami serta diterjemahkan dengan lebih baik di atas padang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, pertemuan dengan China yang menurunkan pasukan pembangunan bukan sekadar peluang memburu kemenangan, malah menjadi ujian sejauh mana skuad negara mampu memperbaiki kelemahan yang terserlah ketika berdepan India.

“Kami mempunyai keyakinan tinggi bahawa pemain mampu beraksi dengan baik menentang China, kami percaya boleh memenangi perlawanan itu untuk terus kekal dalam kejohanan dan membuka laluan lebih mudah ke separuh akhir,” kata Kumar.

Kumar turut mengakui pemain sudah memberikan yang terbaik ketika menentang India, namun pemahaman terhadap aspek teknikal dan taktikal perlu dipertingkatkan bagi memastikan persembahan lebih baik dalam baki saingan.

“Saya sangat gembira dengan persembahan semasa pemain, mereka sudah memberikan yang terbaik, tetapi kami perlu memahami kepentingan aspek teknikal dan taktikal yang dibincangkan dalam mesyuarat pasukan.

“Apabila pemain menyedari kepentingan perkara itu, saya percaya mereka mampu beraksi dengan lebih baik dalam baki perlawanan,” katanya.

Malaysia membuka jaringan menerusi Nuramirah Syakirah Zulkifli pada minit ke-19 sebelum Mumtaz Khan menyamakan kedudukan buat India seminit kemudian, manakala Salima Tete, Sahoo Puja dan Lalremsiami melengkapkan kemenangan 4-1 tuan rumah.

Malaysia akan menentang China pada pukul 5 petang ini, dengan perlawanan itu menjadi peluang untuk skuad negara membuktikan kelemahan yang terserlah ketika aksi pembukaan mampu diperbaiki, selain memastikan peluang ke separuh akhir terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini