BANGI: TNB Thunderstar tetap bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 meskipun rekod tanpa kalah mereka dileburkan Terengganu Hockey Team (THT) selepas tewas 1-2 dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki TNB, UNITEN, di sini hari ini.
Kemenangan THT itu sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Thunderstar sepanjang kempen liga, meskipun skuad kendalian Mohd. Madzli Ikmar sudah mengesahkan kejuaraan itu lebih awal.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Thunderstar di puncak liga dengan 31 mata, manakala THT mengesahkan status naib juara selepas mengumpul 27 mata.
Thunderstar terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang meledakkan gol padang seawal minit keempat.
Namun, kegembiraan tuan rumah hanya bertahan seminit apabila Muhammad Firhan Ashari menyamakan kedudukan buat THT menerusi gol padang pada minit kelima.
Kedua-dua pasukan kemudian gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama, sekali gus menyaksikan kedudukan kekal terikat 1-1.
Perlawanan turut terganggu akibat hujan lebat sehingga memaksa aksi permainan ditangguhkan selama 30 minit ketika berbaki seminit pada suku ketiga.
Selepas permainan bersambung, THT akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan menerusi Luqman Njul Halim Ahmad Shukran yang menyempurnakan pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-49.
Jaringan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan skuad THT menutup kempen liga dengan kemenangan berharga ke atas juara musim ini.
Meskipun gagal mengekalkan rekod tanpa kalah, Thunderstar tetap berjaya meraikan kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara MHL Premier 2026 selepas tamat perlawanan.
Kejayaan itu menyaksikan Thunderstar menamatkan saingan liga dengan kelebihan empat mata mengatasi THT di tangga kedua dengan 27 mata. – UTUSAN











