PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 5-4 ke atas China dalam aksi pembukaan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Surjit, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih tiga mata pertama, namun keputusan tersebut membuktikan China mampu memberikan tentangan sengit meskipun pernah dibelasah 5-0 oleh skuad negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, September lalu.
Malaysia memulakan aksi dengan garang apabila Azrai Aizad Abu Kamal membuka jaringan seawal minit keempat menerusi gol padang sebelum China menyamakan kedudukan melalui Wang Yaqi pada minit ke-11.
China kemudian mendahului menerusi jaringan Ne Moda seminit selepas itu, namun Azrai Aizad kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-14 sebelum Akhimullah Anuar Esook meletakkan Malaysia di hadapan, menjadikan kedudukan 3-2.
Selepas rehat, China merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Chen Benhai pada minit ke-27 sebelum Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-34 untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia.
Aksi semakin mendebarkan apabila Azimuddin Kamaruddin menambah gol kelima Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35, namun Chen Benhai sekali lagi merobek gawang negara pada minit ke-44 untuk memastikan China terus memberi tekanan.
Walaupun China berusaha memburu gol penyamaan, Malaysia berjaya mempertahankan kelebihan tipis 5-4 sehingga wisel penamat untuk memulakan kempen ACT dengan kemenangan.
Selepas ini, Malaysia Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan dalam aksi kedua pada Khamis ini. – UTUSAN











