PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) bercadang mengambil alih sebanyak 57 bidang tanah pegangan bebas di Sengkang, Mukim Senai, Kulai, Johor, berkeluasan keseluruhan kira-kira 174.8 hektar pada harga RM169.3 juta.
Pengambilalihan yang dicadangkan itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan pemaju hartanah berkenaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mengikut geografi, selain memperkukuh kehadirannya di wilayah selatan negara.
Berdasarkan penilaian kebolehlaksanaan semasa kumpulan, pembangunan bercampur yang dicadangkan di atas tanah berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.1 bilion.
Langkah itu dijangka meningkatkan jumlah GDV pembangunan semasa dan masa depan Matrix Concepts di Johor kepada kira-kira RM4 bilion, dengan projek berkenaan dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh lima hingga lapan tahun.
Pengerusi Matrix Concepts Holdings Bhd., Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pengembangan itu mencerminkan pendekatan berdisiplin kumpulan dalam meneroka pasaran berpotensi tinggi bagi memperkukuh kemampanan pendapatan jangka panjang.
Katanya, kumpulan itu sejak dua tahun lalu memberi tumpuan kepada usaha membina asas bagi kepelbagaian geografi yang lebih meluas, sekali gus membolehkan peluang pertumbuhan diterjemahkan kepada pengembangan perniagaan yang lebih konkrit.
“Pengambilalihan yang dicadangkan di Kulai merupakan sebahagian penting daripada perkembangan ini, mencerminkan tumpuan kami untuk memasuki pasaran berpotensi tinggi secara terpilih bagi mengukuhkan kemampanan pendapatan dari semasa ke semasa.
“Kami percaya pendekatan berdisiplin ini akan membolehkan kami meluaskan asas pendapatan, membina daya tahan merentasi kitaran ekonomi dan mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kawasan pembangunan yang dicadangkan itu terletak dalam lingkungan Kulai-Sedenak, salah satu kawasan tumpuan utama yang dikenal pasti di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Pembangunan itu dirancang merangkumi komponen perindustrian, kediaman dan komersial bagi memenuhi permintaan daripada pertumbuhan aktiviti industri serta keperluan penduduk dan perniagaan di kawasan sekitarnya.
“Komponen perindustrian berkenaan dijangka menyokong perkembangan asas perindustrian setempat, seiring usaha JS-SEZ menarik pelaburan dan memperkukuh aktiviti ekonomi rentas sempadan antara Johor dengan Singapura,” katanya.
Dari segi lokasi, tapak berkenaan terletak di antara bandar Kulai dengan Koridor Pertumbuhan Perindustrian Sedenak, selain mempunyai akses ke Lebuhraya Utara-Selatan dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Tapak itu juga terletak kira-kira 43 kilometer dari Johor Bahru dan mempunyai akses kepada perkhidmatan kereta api melalui Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke JB Sentral, sekali gus menyokong hubungan dengan pusat ekonomi utama di wilayah selatan.
Mohamad Haslah berkata, Johor akan memainkan peranan penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya Matrix Concepts, dengan kumpulan itu akan memanfaatkan pengalaman pembangunan bandar serta pengetahuan pasaran tempatan yang telah dibina sejak sekian lama.
Menurutnya, pembangunan Bandar Seri Impian (BSI) di Johor yang dimulakan pada 2006 telah menjana jualan terkumpul melebihi RM1.6 bilion bagi projek kediaman dan komersial.
“Pembangunan Bandar Seri Impian II (BSI II), yang sedang menuju ke peringkat pelancaran, bersama-sama projek baharu yang dicadangkan di Kulai, akan memperluas jangkauan kumpulan di Johor.
“Sinergi antara projek berkenaan juga dijangka membolehkan Matrix Concepts memanfaatkan kepakaran pembangunan bandar, sumber sedia ada dan pemahaman terhadap pasaran tempatan untuk meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan pelaksanaan projek secara berdisiplin,” katanya.
Pengembangan itu melengkapi portfolio pembangunan sedia ada kumpulan di Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Kluang, Johor, sekali gus memperkukuh usaha mengimbangi sumbangan pendapatan daripada pelbagai pasaran. –UTUSAN











