BATU PAHAT: Warga emas yang maut bersama isteri serta dua cucunya dalam nahas di Kilometer 107, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Yong Peng, semalam sempat menghubungi anak-anaknya sejurus kemalangan sambil meminta mereka pulang ke kampung segera.
Anak sulungnya, Mohd Zaharudin, 45, berkata arwah bapanya, Ab Shukor Athan, 68, yang juga pesara tentera sempat membuat panggilan video menerusi kumpulan WhatsApp keluarga jam 5.55 petang memaklumkan mereka terbabit kemalangan.
“Tetapi kami kami hanya nampak kakinya, menerusi panggilan video itu ayah meminta kami pulang ke kampung halaman di Kluang.
“Tidak lama kemudian, panggilan itu dijawab oleh seorang wanita tidak dikenali sambil meminta kami bersabar.
“Pada mulanya kami hanya menyangka ia kemalangan biasa. Tetapi wanita itu memberitahu ada kematian (dalam kemalangan itu),” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini.
Sejurus mengetahui kejadian sebenar, Mohd Zaharudin yang juga tukang masak di Singapura segera pulang ke rumahnya di Ulu Tiram, Johor Bahru untuk mengambil ahli keluarga lain.
Menurutnya, sebelum kejadian, adik iparnya Jumie Julong, 35, dan isteri, Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, membawa arwah ibu bapa dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Johor Bahru.
Katanya, semalam sepatutnya gilirannya yang membawa ibu bapa tinggal bersama keluarganya di Ulu Tiram.
“Saya tak sangka menyangka panggilan video itu menjadi antara detik terakhir saya berhubung dengan ayah.
“Kali terakhir saya bertemu emak dan ayah kira-kira dua minggu lalu, jarak menyebabkan peluang untuk kami berkumpul sukar.
“Saya rancang nak bawa emak dan ayah keluar makan-makan hari ini, tetapi tak sempat.
“Allah lebih dahulu menjemput mereka, ralat juga sedikit, tetapi kami reda,” katanya.
Selain Ab Shukor, turut maut dalam kemalangan itu ialah isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucunya Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie yang berusia setahun.
Semua mereka cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.











