PETALING JAYA: Kejayaan skuad hoki remaja negara menjuarai Piala Sultan Johor (SOJC) buat kali pertama sejak 2011 bukan noktah kepada perjuangan, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha membina pasukan lebih mantap untuk menghadapi cabaran antarabangsa.
Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pengalaman dan pendedahan berterusan menjadi keutamaan bagi memastikan pemain muda negara terus berkembang selepas kejayaan merangkul gelaran edisi ke-14 kejohanan itu.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, skuad negara kini berada di India untuk menyertai kejohanan Murugappa Gold Cup 2026, yang menghimpunkan pasukan senior dan bekas pemain kebangsaan India.
Nor Saiful berkata, penyertaan itu memberi peluang kepada pemain negara menimba pengalaman berdepan corak permainan berbeza, selain meningkatkan kematangan mereka ketika beraksi menentang lawan lebih berpengalaman.
“Kita dijemput menyertai kejohanan ini tahun lalu dan tahun ini mereka menjemput kita sekali lagi. Ia satu peluang baik untuk pembangunan pemain kerana mereka dapat belajar tentang gaya permainan India serta menambah pengalaman.
“Pendedahan seperti ini penting supaya pemain menjadi lebih matang dan bijak ketika beraksi,” katanya.
Skuad negara dijadual menamatkan penyertaan di India pada 1 November ini sebelum kembali memberi tumpuan kepada baki saingan Liga Hoki Kebangsaan (MHL) yang masih belum selesai.
Langkah itu dilihat sebagai kesinambungan kepada kejayaan di SOJC, dengan pemain memerlukan lebih banyak minit permainan dan pengalaman menentang pasukan luar untuk meningkatkan keupayaan mereka. – UTUSAN











