Ahmad Maslan wajib letak jawatan - Aziz Bari - Utusan Malaysia

Ahmad Maslan wajib letak jawatan – Aziz Bari

umno
AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan perlu meletakkan jawatan ekoran tindakan mempersenda kerajaan yang dianggotainya.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, walaupun Ahmad telah membuat permohonan maaf, tindakan itu tidak mencukupi atas banyak faktor.

Katanya, pelanggaran itu berlaku di Parlimen dan jelas disebut dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau telah bertukar menjadi Ahli Parlimen pembangkang meskipun beliau berdiri sebagai anggota pentadbiran.

“Beliau bukan sahaja gagal berperanan sebagai anggota pentadbiran tetapi lebih dahsyat lagi menggunakan pentas itu untuk mengejek kerajaan dan berkempen bagi pihak pembangkang,” katanya.

Dalam Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pemansuhan tol adalah janji Pakatan Harapan (PH) manakala Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat janji terbabit.

Ahmad kemudian membaca pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu ‘kena kencing’ iaitu ungkapan yang bermaksud ditipu.

Ahmad telah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakannya.

Aziz berkata, Ahmad sudah lama menjadi anggota pentadbiran termasuk pada zaman pemerintahan BN dan cukup faham makna serta implikasi prinsip tanggungjawab bersama dalam Kabinet.

“Walaupun Perdana Menteri menerima permohonan maaf Ahmad itu, ini bukan kesalahan peribadi dengan Perdana Menteri. Ini soal pelanggaran prinsip Perlembagaan yang menjadi tunjang kepada sistem kerajaan Kabinet di bawah sistem Westminster.

“Seorang Perdana Menteri di bawah sistem Westminster hanyalah ‘first among equals’.

“Kedudukan Perdana Menteri tidak sama dengan kedudukan Presiden di bawah sistem berpresiden. Kemaafan oleh Perdana Menteri tidak membersihkan kesalahan Ahmad. Lagipun Ahmad tidak menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat,” kata Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini