KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kekhilafan kata-kata ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Menerusi surat rasmi bertarikh 17 November 2026 yang dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini, Ahmad mengakui pemilihan kata dalam pantun berkenaan tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Anggota Pentadbiran kerajaan.
“Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan. Pantun itu tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
“Bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata itu dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan yang saya tarik balik di Parlimen,” tulisnya dalam surat berkenaan.
Menurutnya, beliau tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.
“Sokongan saya terhadap kerajaan dan kepimpinan Datuk Seri (Anwar) kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
“Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili kerajaan,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi penggulungan berkenaan, Ahli Parlimen Pontian itu dilaporkan berkata, pemansuhan tol adalah janji Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat janji terbabit.
Beliau kemudian membaca pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu ‘kena kencing’ dengan ungkapan yang bermaksud ditipu.











