KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuka konsesi pembekalan kenderaan kerajaan kepada lebih banyak syarikat mengikut kategori bagi mengelakkan monopoli oleh satu syarikat sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara kategori kenderaan yang boleh dibuka kepada syarikat lain termasuk van, bas, kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan motosikal.
Katanya, cadangan itu merupakan antara tiga syor tambahan PAC menerusi Laporan Tindakan Susulan Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
“PAC mencadangkan supaya konsesi pembekalan kenderaan kerajaan dibuka kepada syarikat lain mengikut kategori bagi mengelakkan monopoli oleh satu syarikat konsesi.
“Antara kategori kenderaan yang boleh dipertimbangkan ialah van, bas, kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata, kerajaan juga perlu memuktamadkan dan menguatkuasakan perjanjian tambahan dengan Spanco Sdn. Bhd. bagi mengurangkan kos sewaan serta penyelenggaraan kenderaan yang masih digunakan selepas tamat tempoh sewaan.
Beliau berkata, siasatan PAC terhadap perjanjian konsesi selama 15 tahun antara Kementerian Kewangan dan Spanco mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak serta tadbir urus sehingga menyebabkan kelewatan menggantikan kenderaan yang tamat tempoh sewaan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan, selain tindakan mengenakan dan mengutip penalti terhadap kelewatan pembekalan kenderaan turut mengambil masa.
“Kelewatan itu menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan bagi sewaan dan penyelenggaraan, manakala tindakan mengenakan serta mengutip penalti terhadap kelewatan pembekalan kenderaan juga mengambil masa.
“Secara keseluruhannya, PAC berpuas hati dengan tindakan susulan yang diambil Kementerian Kewangan dalam melaksanakan syor yang dikemukakan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, laporan berkenaan memperincikan maklum balas Kementerian Kewangan serta ulasan PAC terhadap lima syor utama yang dibentangkan pada 9 Julai lalu.
Selain itu, PAC mencadangkan supaya skop konsesi diperluas kepada pembekalan kenderaan bagi kegunaan kritikal dan lasak termasuk ambulans bagi memastikan kenderaan berkenaan sentiasa tersedia serta dapat diganti segera sekiranya rosak atau terlibat dalam kemalangan.
Mas Ermieyati berkata, kerajaan turut disaran mempertimbangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, menggalakkan pembangunan industri teknologi hijau dan menarik pelaburan asing.
Katanya, langkah itu juga selaras dengan sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“PAC turut mencadangkan supaya latihan berterusan diberikan kepada pegawai yang menguruskan kenderaan di kementerian dan jabatan.
“Kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap keselamatan dan ketepatan data dalam pelaksanaan sistem dalam talian bagi mengurus serta memantau kenderaan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, sistem berkenaan juga perlu dipastikan dapat digunakan dengan baik di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk Sabah serta Sarawak.
Katanya, PAC akan terus memantau tindakan susulan kerajaan bagi memastikan wang awam diurus secara telus, bertanggungjawab dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat. – UTUSAN











