Hakisan pantai Rompin semakin kritikal

Hakisan pantai Rompin semakin kritikal

ABDUL KHALIB ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah hakisan pantai di sepanjang pesisir Rompin, khususnya dari Kuala Rompin hingga Tanjung Pahang, kini semakin kritikal akibat dibadai ombak besar dari Laut China Selatan setiap tahun.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, keadaan itu memerlukan tindakan segera menerusi pembinaan struktur perlindungan pantai secara kekal bagi mengelakkan hakisan terus merebak.

Katanya, projek berkenaan perlu dilaksanakan tanpa menunggu rancangan pembangunan secara berperingkat yang seterusnya, selain meminta penjelasan mengenai status permohonan kerajaan Pahang berjumlah RM850 juta bagi menangani masalah itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pantai Rompin kini berdepan krisis hakisan yang kritikal. Setiap tahun, ombak besar dari Laut China Selatan terus membadai pesisir pantai Rompin tanpa henti,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan PETRA bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meluluskan pembinaan struktur perlindungan pantai menggunakan batu sepanjang 5,000 meter serta pemecah ombak bersepadu.

Katanya, pembinaan itu perlu diberi keutamaan di kawasan yang mengalami hakisan serius termasuk Tanjung Pahang, Kampung Jawa, Pontian dan Kampung Mukut di Pulau Tioman.

Dalam pada itu, Abdul Khalib turut membangkitkan masalah mendapan lumpur yang semakin serius di muara Sungai Rompin sehingga menjejaskan pergerakan ratusan bot nelayan tradisional, bot rekreasi serta operasi logistik di jeti pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Beliau berkata, keadaan muara yang semakin cetek menyebabkan bot sering terkandas dan kipas bot mengalami kerosakan, sekali gus membahayakan keselamatan nelayan terutama ketika air surut.

Justeru, beliau mencadangkan kerja pengorekan secara berjadual dilaksanakan sepanjang 2027 bagi mengeluarkan kira-kira 149,000 meter padu mendapan lumpur di kawasan berkenaan.

“Kerja pengorekan ini perlu melibatkan laluan sepanjang 1,000 meter dengan kelebaran 20 meter dan kedalaman sekurang-kurangnya 1.5 meter,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan dua struktur pemecah ombak bagi membantu mengalirkan mendapan ke laut secara semula jadi, sekali gus mengurangkan keperluan kerja pengorekan berulang.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalib meminta kementerian menjelaskan tahap kesiapsiagaan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut yang bermula pada 1 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini