KUALA LUMPUR: Ringgit kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang rakan dagangan utama pada suku ketiga 2026, disokong prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit menyusut 0.2 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2026 berbanding penurunan 0.8 peratus pada suku kedua tahun ini.
“Secara kumulatif sejak awal tahun hingga 16 November 2026, ringgit mencatatkan penyusutan relatif kecil sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS.
“Prestasi ringgit berbanding mata wang rakan dagangan utama juga kekal stabil apabila Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) susut 0.5 peratus dalam tempoh sama,” katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2026 di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Menurut beliau, prestasi ringgit terus mendapat sokongan daripada prospek ekonomi Malaysia yang positif, didorong pertumbuhan ekonomi berdaya tahan serta komitmen kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan.
“Bagaimanapun, pergerakan kadar pertukaran ringgit pada masa hadapan dijangka terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran,” katanya.
BNM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan ekonomi dan kewangan global dengan teliti bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik kekal berfungsi secara teratur. – UTUSAN










