PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri mahu memberi lebih banyak ruang kepada album terbarunya, Atma, untuk dikenali pendengar dengan terus mempromosikan lagu-lagu dalam album itu sehingga tahun hadapan.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata, dia mahu setiap lagu dalam album berkenaan diketengahkan dengan lebih jelas supaya pendengar dapat memahami karya yang ingin disampaikan menerusi setiap lagunya itu terutama lagu Sejambak Bunga.
“Album Atma ini akan saya bawa sehingga tahun depan. Saya mahu lagu-lagu dalam album ini diketengahkan dengan lebih jelas supaya orang ramai dapat memahaminya,”
“Sejambak Bunga adalah lagu yang sangat saya banggakan. Saya mahu terus memperjuangkan lagu ini dan membawanya ke pentas-pentas lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas peluang untuk membawa Sejambak Bunga ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-41, Ernie berkata, dia bersyukur sekiranya lagu itu terpilih, tetapi dia tidak meletakkan sebarang jangkaan buat masa sekarang.
“Terus-terang saya tidak membayangkan apa-apa. Jika ada rezeki untuk ke AJL, Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Ernie turut memberi bayangan bakal menghadirkan kejutan istimewa buat peminatnya pada tahun depan.
Bagaimanapun, Ernie enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditanya, tetapi mahu menyimpannya sebagai kejutan khusus buat peminat setianya.
“Saya hanya boleh katakan tahun depan akan menjadi tahun yang menarik untuk peminat-peminat saya. InsyaAllah,” katanya.
Untuk rekod, album ATMA menampilkan tujuh trek keseluruhan yang terdiri daripada sebuah intro iaitu Finding The Music (Intro), lima lagu utama iaitu Racun, Sejambak Bunga, Pinta, Dendam Dalam Duka dan ATMA, serta diakhiri dengan trek penutup berjudul Finito.











