PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor menyalurkan lebih RM562,000 kepada 13 hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membantu petugas kesihatan yang tergolong dalam golongan asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, bantuan menerusi wakalah zakat bagi tahun 2025 itu membolehkan hospital dan JKNS mengagihkan dana berkenaan kepada kakitangan yang layak.
Katanya, petugas kesihatan yang sentiasa membantu pesakit dan keluarga berdepan kesulitan juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah kewangan serta memerlukan bantuan.
“Warga kesihatan setiap hari membantu pesakit dan keluarga yang berdepan kesulitan. Namun, dalam kalangan petugas sendiri, mungkin ada yang turut menghadapi kesempitan hidup dan memerlukan sokongan.
“Melalui wakalah ini, institusi penerima diamanahkan untuk mengagihkan zakat kepada mereka yang layak. Ini sebahagian daripada tanggungjawab kita mengembalikan hak asnaf dan membantu meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Khaidzir berkata, penyerahan wakalah zakat itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah kira-kira RM695,000 bagi institusi di bawah JKNS pada tahun 2025.
Selain itu, katanya, Zakat Selangor turut menyalurkan dana sebanyak RM3 juta tahun ini bagi menyokong Jabatan Khidmat Sosial dan pelaksanaan Program Hospital Mesra Ibadah di hospital bawah JKNS serta hospital institusi pengajian tinggi di seluruh Selangor.
Beliau berkata, pembayaran zakat oleh warga kesihatan juga membantu menjaga kebajikan keluarga asnaf yang terjejas pendapatan akibat masalah kesihatan menimpa pencari nafkah.
“Petugas kesihatan melihat sendiri bagaimana penyakit boleh menjejaskan kehidupan sesebuah keluarga. Apabila pendapatan terganggu, keperluan harian keluarga tetap perlu dipenuhi.
“Melalui zakat, keluarga asnaf mendapat sokongan untuk meneruskan kehidupan, termasuk menyediakan makanan dan memenuhi keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, seramai 5,703 warga JKNS menunaikan zakat melalui Zakat Selangor dengan jumlah kutipan RM5.48 juta setakat Oktober lalu.
Jumlah pembayar zakat itu meningkat sebanyak 191 orang atau 3.5 peratus berbanding 5,512 orang pada tahun lalu.
Kutipan tersebut melibatkan kakitangan di 13 hospital, 11 Pejabat Kesihatan Daerah, sembilan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah serta JKNS.
Melalui Program Anda Hero Asnaf, Zakat Selangor turut menggalakkan kakitangan kesihatan yang memenuhi syarat wajib zakat membuat potongan gaji bulanan serta menyemak semula jumlah bayaran sekiranya berlaku perubahan pendapatan. – UTUSAN











