PETALING JAYA: Malaysia disaran mengurangkan waktu kerja petugas kesihatan kepada maksimum 48 jam seminggu susulan had 60 jam seminggu masih dianggap sebagai beban tinggi dalam jangka panjang.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, pendirian itu kekal konsisten sementara ia dihadkan kepada 45 jam seminggu bagi memastikan kebajikan petugas kesihatan dan keberkesanan sistem kesihatan negara.
Beliau berkata, beberapa isu sistemik perlu ditangani termasuk kekurangan doktor, nisbah petugas tidak mencukupi serta sistem yang belum disokong sepenuhnya bagi membolehkan waktu kerja lebih munasabah.
Katanya, MMA mengalu-alukan peringatan Ketua Pengarah Kesihatan kepada pengarah hospital berhubung sistem waktu kerja fleksibel bagi doktor pelatih (housemen).
“Walaupun arahan itu bukan baharu, ia masih perlu ditekankan semula kerana tidak dipatuhi secara konsisten di lapangan, selain laporan housemen bekerja sehingga 85 jam seminggu amat membimbangkan.
“Ini bukan sekadar isu kebajikan. Housemen dilatih menjadi doktor yang kompeten dan selamat. Keletihan menjejaskan pembelajaran dan turut mengancam keselamatan pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan purata jumlah waktu kerja pegawai perubatan siswazah (housemen) dihadkan kepada 60 hingga 62 jam seminggu.
Dalam satu pekeliling bertarikh 8 Mei yang dikeluarkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab mengingatkan pengarah hospital supaya sentiasa memantau pelaksanaan sistem waktu kerja fleksibel bagi housemen di fasiliti masing-masing bagi memastikan pematuhan kepada prinsip umum.
Hospital turut diingatkan supaya memastikan waktu kerja di semua jabatan bagi pegawai perubatan siswazah diseragamkan kepada tiga syif fleksibel utama iaitu pagi, petang dan malam.
Pekeliling itu dikeluarkan susulan dapatan Malaysian Medics International (MMI) yang mendapati housemen dan pegawai perubatan bekerja purata 65 hingga 85 jam seminggu walaupun sistem fleksibel kementerian mengehadkan antara 65 hingga 75 jam seminggu.
Dr. Thirunavukarasu berkata, had 60 hingga 62 jam seminggu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan pengarah hospital perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkara tersebut dilaksanakan.
Katanya, pekeliling tersebut juga mengingatkan hospital supaya menghormati kelayakan cuti pegawai perubatan siswazah.
“Perkara ini sepatutnya tidak perlu diingatkan. Cuti housemen seperti cuti tahunan dan cuti sakit bukan keistimewaan, sebaliknya hak yang termaktub di bawah peraturan sedia ada.
“Menafikan atau menggantikan cuti dengan cara lain adalah tidak boleh terima. Arahan boleh mengingatkan. Reformasi sistem mampu mengubah keadaan. Malaysia memerlukan kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN










