KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi pelarasan gaji petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan KKM untuk meningkatkan kesejahteraan dan jaminan kerjaya petugas kesihatan awam, termasuk pegawai perubatan, jururawat serta kakitangan sokongan.
Langkah ini juga katanya, bagi memastikan tenaga kerja sektor awam terus berkhidmat dan tidak terjejas akibat persaingan sektor swasta atau luar negara.
“Kementerian sentiasa meneliti keperluan operasi dan tanggungjawab kritikal petugas kesihatan, selain melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pelantikan tetap, kenaikan pangkat, pemangkuan jawatan, serta peluang melanjutkan pengajian melalui biasiswa dan Cuti Belajar Bergaji Penuh,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan bertulis Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkenaan komitmen kementerian dalam memastikan jaminan kerjaya yang stabil dan mencukupi untuk kakitangan kesihatan awam bagi mengelakkan lebih ramai tenaga kerja meninggalkan sektor itu.
Menurut Dzulkefly, bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 16,781 urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat telah dilaksanakan, manakala seramai 6,310 jururawat masyarakat dilantik ke jawatan tetap melalui Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL).
Selain itu, pegawai perubatan dan pakar perubatan juga mendapat peluang melanjutkan pengajian bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran.
“Walaupun KKM tidak mempunyai kuasa menyekat petugas kesihatan berhijrah ke sektor lain, kerajaan memastikan insentif dan gaji setara kemampuan fiskal negara.
“Peruntukan RM1.2 bilion ini adalah bukti komitmen kerajaan bagi mengekalkan tenaga kerja sektor awam yang kompeten dan berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










