Rombak Kabinet, bukan bubar Parlimen - Tun Faisal

Rombak Kabinet, bukan bubar Parlimen – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rombakan Kabinet lebih wajar dilakukan bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan menteri berbanding membubarkan Parlimen yang akan menelan belanja bagi melaksanakan pilihan raya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kegagalan segelintir menteri dan parti dalam Kerajaan Perpaduan mematuhi disiplin tidak sepatutnya menyebabkan rakyat menanggung akibat percaturan politik mereka.

Menurutnya, masalah kerajaan ketika ini bukan sekadar kelemahan prestasi kementerian, malah turut melibatkan kegagalan sebahagian menteri dan parti untuk berfungsi sebagai satu pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, terdapat pihak yang mahu terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan, tetapi apabila timbul kelemahan atau kegagalan, mereka mengambil pendekatan menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan serta menjauhkan diri daripada keputusan bersama.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, setiap anggota Kabinet perlu memikul tanggungjawab bersama terhadap dasar, keputusan dan hala tuju pentadbiran negara.

“Perbezaan pandangan boleh dibincangkan dalam Kabinet, tetapi selepas keputusan dibuat, setiap menteri perlu menghormati dan mempertahankannya.

“Jika tidak lagi bersetuju atau tidak mampu menerima keputusan kerajaan, menteri berkenaan perlu melepaskan kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tun Faisal berkata, tindakan sepatutnya dikenakan terhadap menteri atau parti yang melanggar disiplin kerajaan dan bukannya membubarkan Parlimen.

Menurutnya, perkara itu lebih membimbangkan ketika negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global serta ancaman serangan siber yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.

Beliau turut membandingkan keadaan itu dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2020 hingga 2022 yang menurutnya turut berdepan tekanan politik daripada pemimpin parti sama.

Bagaimanapun, anggota Kabinet daripada parti berkenaan ketika itu pada umumnya lebih berdisiplin, sanggup memikul tanggungjawab bersama dan tidak menyalahkan kerajaan serta Perdana Menteri.

Justeru, beliau berpandangan Kabinet perlu dirombak dan diperbetulkan terlebih dahulu kerana kerajaan masih mempunyai kira-kira setahun sebelum tamat penggal Parlimen untuk memperbaiki prestasi serta memperkukuh pentadbiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini