SHAH ALAM: Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ menyediakan dana sejumlah RM3.3 bilion.
Ini merangkumi RM1.9 bilion bersamaan 57.6 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion (42.4 peratus) lagi untuk perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pentadbiran kerajaan negeri mencadangkan peruntukan besar Belanjawan Selangor 2027 dalam usaha menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas.
“Bagi tahun 2027, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang mampu dikutip sebanyak RM2.85 bilion. Ia membabitkan premium tanah sebanyak RM1,112.85 juta bersamaan dengan 39 peratus daripada anggaran hasil.
“Seterusnya, cukai tanah diunjurkan menyumbang sebanyak RM653.82 juta bersamaan dengan 23 peratus daripada hasil keseluruhan, manakala pemberian Persekutuan sebanyak RM292.70 juta bersamaan dengan 10 peratus.
“Belanjawan Selangor 2027 merangkumi lima tonggak iaitu Ketangkasan Menangani Perubahan Iklim dan Merekayasa; Pembangunan Prasarana; Memartabat Kesejahteraan Rakyat, Kecerdasan Buatan dan Ekonomi Negeri Selangor; Memperkasa Pendidikan Sepanjang Hayat, Membina Generasi Progresif dan Pemantapan Khidmat Rakyat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2027 pada Sidang Dewan Undang Negeri (DUN), di sini hari ini.
Amirudin berkata, sehingga 11 November 2026, kedudukan kewangan negeri terus meningkat sebanyak RM384.84 juta.
“Ini menjadikan rizab negeri semasa berjumlahRM5.12 bilion terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.713 bilion dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM3.408 bilion.
“Sebanyak RM1.413 bilion atau 75.99 peratus digunakan untuk perbelanjaan mengurus, manakala sebanyak RM1.121 bilion atau 81.82 peratus direkodkan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Melalui amalan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan kerajaan negeri mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM422.40 juta sehingga 11 November 2026,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan hasil negeri setakat 11 November lalu, beliau berkata hasil negeri melebihi sasaran kutipan hasil bagi keseluruhan tahun 2026 dengan jumlah RM2.956 bilion.
“Daripada jumlah itu, hasil cukai dicatatkan sebanyak RM767,303,100.79, hasil bukan cukai dicatatkan sebanyak RM1.912 bilion dan terimaan bukan hasil dicatatkan sebanyak RM277 juta,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kejayaan ekonomi negeri ini tidak terlepas daripada penyusunan struktur ekonomi menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilaksanakan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
“Dalam tempoh Itu, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 33.94 peratus, dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada RM343.5 bilion sebelum RS-1 kepada RM460.1 bilion pada tahun 2025.
“Berdasarkan kedudukan semasa ini sumbangan KDNK Selangor 2026 diunjurkan mencecah RM489 bilion dan Insya-Allah, trajektori pertumbuhan positif ini juga akan membolehkan Selangor menjadi negeri yang pertama yang menyumbangkan KDNK bernilai melebihi setengah trilion ringgit atau RM500 bilion pada tahun 2027,” katanya.










