KUALA LUMPUR: Kejayaan rakan seperjuangan dalam industri seni menjadi pembakar semangat buat pelakon, Arfie Shah, untuk terus mengasah bakat dan memperbaiki mutu lakonan bagi memastikan dirinya turut mampu mencipta nama.
Arfie, 33, berkata, dia tumpang gembira melihat perkembangan positif pelakon generasi baharu seperti Zarif Ghazzi dan Amir Ahnaf yang semakin menyerlah menerusi bakat serta kemampuan masing-masing.
Menurutnya, pencapaian rakan-rakan itu bukan sesuatu yang membuatkan dirinya berasa tercabar, sebaliknya menjadi inspirasi untuk terus bekerja keras dalam bidang lakonan.
“Sejujurnya saya sangat gembira melihat ramai pendatang baharu yang hebat termasuk Zarif Ghazzi. Mereka juga menjadi inspirasi untuk saya dalam bidang lakonan.
“Baru-baru ini saya menonton lakonan Amir Ahnaf dalam filem Baga. Saya sangat suka dan memuji lakonan Amir serta pelakon lain dalam naskhah tersebut.
“Mereka semua memang memberikan inspirasi kepada saya. Saya berharap suatu hari nanti dapat menjadi seperti mereka juga.
“Saya bukan pelakon yang serba lengkap, tidak tinggi dan tidaklah terlalu kacak. Jadi, setiap hari saya akan cuba memperbaiki diri dan bekerja keras untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Arfie berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Kacau di TGV KLCC, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Arfie berkata, dia percaya setiap individu mempunyai perjalanan dan rezeki tersendiri, justeru tidak mahu terlalu membandingkan pencapaian dirinya dengan orang lain.
Katanya, dia sentiasa mendoakan kejayaan rakan-rakan selain percaya setiap perkara sudah ditentukan oleh Allah SWT mengikut ketentuan dan masa yang tepat.
“Saya juga percaya dengan rezeki. Sampai masa, jika Allah kata sudah tiba waktunya, maka tibalah. Kejayaan mereka semua saya doakan akan terus mekar.
“Begitu juga dengan diri sendiri, saya sentiasa mendoakan yang terbaik. Saya percaya tuah setiap orang sudah ditetapkan dan rezeki kita sebagai manusia sudah diatur dengan begitu indah oleh Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Arfie membintangi filem terbaharu, Kacau yang turut menampilkan Idan Aedan, Fimie Don, Khayrisyah Kemal, Evanatie Sannie, Sadiq M. Jamil, Nurel Baharin dan Megat Shahrizal.











