Kerajaan tunggu laporan impak insiden gangguan Microsoft

Kerajaan tunggu laporan impak insiden gangguan Microsoft

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan masih menunggu laporan penuh berhubung insiden gangguan membabitkan aplikasi penstoran awan dan aplikasi awan Microsoft.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata laporan itu bagaimanpun belum dikumpulkan dan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berhubung insiden itu yang difahamkan tidak hanya membabitkan satu negara atau kawasan tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini laporan belum dikumpulkan, belum dibentang, tidak dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Dan setakat pagi tadi saya menunggu pihak NACSA memberi pemakluman laporan mengenai insiden tersebut.

“Difahamkan ia (gangguan) adalah bersifat global, bukan sekadar di satu negara ataupun satu kawasan, tapi ini ada kesan yang besar,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya belum dimaklumkan sama ada kementerian atau jabatan yang terkesan akibat gangguan berkenaan.

Terdahulu NACSA memaklumkan bahawa Microsoft sedang mengalami gangguan perkhidmatan yang melibatkan Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR, serta berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Berdasarkan maklumat semasa, gangguan ini lebih cenderung berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur dan bukan serangan siber.

Sehubungan itu, semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) disarankan untuk menyemak status perkhidmatan yang terjejas, memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu serta memantau perkembangan terkini daripada pihak Microsoft. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini