KUALA LUMPUR: Kelewatan penghantaran pesawat susulan gangguan rantaian bekalan global menjejaskan perancangan kapasiti serta pelan pengembangan operasi Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus berisiko mengehadkan keupayaan syarikat memenuhi permintaan perjalanan yang kian meningkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, kelewatan penerimaan pesawat daripada pihak pengeluar memberi kesan langsung terhadap keupayaan kumpulan melaksanakan jadual penerbangan seperti dirancang.
Jelasnya, syarikat penerbangan lazimnya menjual tiket antara tiga hingga enam bulan lebih awal berdasarkan unjuran ketersediaan pesawat bagi tempoh tertentu.
“Apabila penghantaran pesawat tertangguh, kita tidak dapat menyediakan perkhidmatan seperti yang dirancang. Jadi, kita perlu menguruskan gangguan itu dengan memindahkan sebahagian penumpang ke pesawat lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Presiden ke-70 (AP70) Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di sini hari ini.
Mengulas impak kelewatan tersebut terhadap prestasi kewangan kumpulan, Nasaruddin berkata, kesannya setakat ini masih terkawal, namun pemotongan kapasiti secara drastik berpotensi menekan hasil syarikat.
“Kesannya masih agak minimum. Namun, sekiranya berlaku pengurangan kapasiti secara besar-besaran yang memaksa kami mengurangkan laluan, barulah ia akan menjejaskan pendapatan kami.
“Bagaimanapun, kami turut menyaksikan prestasi positif apabila hasil utama meningkat sebanyak 14 peratus secara berperingkat dari tahun 2025 ke 2026,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia Airlines menyasarkan peningkatan kapasiti pengangkutan penumpang sebanyak lapan peratus pada 2027 di samping merancang memperkenalkan sehingga tiga destinasi baharu.
Namun, kelewatan penghantaran pesawat yang dijangka berlarutan beberapa bulan berpotensi merencatkan pelaksanaan pelan tersebut sekiranya aset baharu tidak diterima mengikut jadual.
Situasi itu juga mungkin memaksa syarikat meningkatkan perolehan alat ganti bagi menampung keperluan penyelenggaraan sedia ada atau mengurangkan kapasiti penerbangan sekiranya kekangan pesawat berterusan.
Dalam perkembangan berasingan, Malaysia Airlines dilapor semakin hampir memuktamadkan keputusan tempahan 20 pesawat berbadan lebar Boeing 787 Dreamliner yang disasarkan seawal bulan ini. – UTUSAN











