PETALING JAYA: Malaysia Airlines mencatat kejayaan sulung apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan MICE Terbaik Dunia 2026 dan Syarikat Penerbangan MICE Terbaik Asia 2026 pada World MICE Awards 2026.
Pengiktirafan berganda itu mengukuhkan kedudukan syarikat penerbangan berkenaan dalam segmen mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), selain mencerminkan kemajuan Malaysia Aviation Group (MAG) dalam meningkatkan pengalaman pelanggan, penawaran komersial serta prestasi operasi.
Anugerah berkenaan disampaikan pada majlis gala World MICE Awards di Princess Grand Jamaica pada 12 Oktober lalu, sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia Airlines dalam memenuhi keperluan pasaran acara perniagaan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting bagi Malaysia Airlines dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengukuhkan hubungan dengan rakan niaga industri pelancongan.
Katanya, kemajuan syarikat bergantung pada usaha bersepadu seluruh warga kerja kumpulan itu untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai, berteraskan layanan mesra Malaysia.
“Malaysia Airlines akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keyakinan rakan niaga, memperkukuh kerjasama dan memastikan pertumbuhan mampan syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan.
Selain pencapaian dalam segmen MICE, MAG dan Malaysia Airlines turut menerima beberapa pengiktirafan lain merangkumi pengalaman pelanggan serta reputasi jenama.
Antaranya, Pusat Hubungan Global MAG menerima pengiktirafan Prestige bagi Prestasi Pengalaman Pelanggan Terbaik pada Contact Centre Association of Malaysia Industry Excellence Awards 2026.
Malaysia Airlines turut meraih Hadiah Utama bagi kategori syarikat penerbangan dalam anugerah Jenama Terbaik Pilihan Pengguna 2026 oleh JoongAng Ilbo di Korea Selatan, selain dinobatkan sebagai Jenama Syarikat Penerbangan Terunggul Tahun Ini pada Business Focus Awards 2026 di Hong Kong.
Ia sekali gus melengkapkan pencapaian MAG pada Skytrax World Airline Awards 2026, sekali gus memperlihatkan pengiktirafan industri terhadap pelbagai aspek perniagaan kumpulan itu.
Dalam pada itu, kebolehpercayaan operasi kekal sebagai keutamaan Malaysia Airlines dalam memastikan pengalaman pelanggan yang konsisten.
Syarikat penerbangan itu merekodkan purata prestasi ketibaan tepat pada masanya (OTP) sebanyak 91.70 peratus bagi tempoh terkumpul tahun ini, dengan pencapaian tertinggi sebanyak 94.16 peratus pada September 2026. – UTUSAN











