MAG nafi bincang ambil alih pesawat, pasaran domestik AirAsia - Utusan Malaysia

MAG nafi bincang ambil alih pesawat, pasaran domestik AirAsia

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Nasaruddin A. Bakar pada sidang media APPA Perhimpunan Presiden kali ke 70 Kuala Lumpur ( 70th Assembly of Presidents Kuala Lumpur 2026) di Grand Hyatt KL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menafikan telah mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan kerajaan berhubung kemungkinan mengambil alih bahagian pasaran domestik atau pesawat milik AirAsia Group Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar menegaskan, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada kerajaan mahupun membincangkan perkara tersebut.

“Tiada sebarang permintaan rasmi daripada kerajaan dan tiada perbincangan untuk mengambil alih pesawat daripada AirAsia juga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines mempunyai tanggungjawab memastikan kesalinghubungan udara dalam dan luar negara terus terpelihara,” katanya ketika ditemui pada majlis Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di sini semalam.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan mendapatkan pandangan Malaysia Airlines dan Batik Air pada September lalu berhubung keupayaan kedua-dua syarikat penerbangan itu menyerap bahagian pasaran domestik AirAsia sekiranya tekanan kewangan syarikat tambang rendah berkenaan menjejaskan operasinya.

Susulan itu, kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan dilapor menyatakan kesediaan mengembangkan operasi secara organik menerusi pengambilalihan laluan dan penumpang secara berperingkat, berbanding membeli keseluruhan perniagaan AirAsia.

Mengulas lanjut mengenai keupayaan memperluas kapasiti sekiranya berlaku gangguan operasi dalam industri, Nasaruddin menjelaskan sebarang penambahan kapasiti perlu mengambil kira ketersediaan pesawat, tenaga kerja, aspek keselamatan serta kemampanan kewangan agar hubungan udara penumpang tidak terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan persaingan adil dalam industri penerbangan, khususnya melibatkan pelepasan caj lapangan terbang.

Menurutnya, semua pengendali penerbangan yang menggunakan kemudahan dan infrastruktur lapangan terbang serupa wajar dikenakan kadar caj yang setara tanpa pengecualian.

“Sebagai contoh, syarikat penerbangan yang menggunakan infrastruktur sama perlu membayar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) pada kadar setara, manakala perbezaan kadar hanya wajar dikenakan sekiranya kemudahan digunakan berbeza seperti antara Terminal 1 dan Terminal 2.

“Terminal 1 dan Terminal 2 mempunyai kadar berbeza berikutan perbezaan infrastruktur. Namun, jika sesebuah syarikat perlu membayar caj tersebut, semua syarikat penerbangan lain yang menggunakan infrastruktur sama juga mesti membayarnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini