SEPANG: Malaysia Airports dan Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh kerjasama strategik bagi mempercepat agenda kelestarian industri penerbangan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Kedua-dua organisasi itu menganjurkan Hari Kelestarian Penerbangan 2026 di Sama-Sama Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang menghimpunkan wakil agensi kerajaan, badan pengawal selia dan rakan industri bagi membincangkan pendekatan praktikal ke arah penyahkarbonan sektor penerbangan.
Antara fokus perbincangan ialah penggunaan tenaga bersih, inisiatif ekonomi kitaran, pengurangan sisa, bahan api penerbangan mampan (SAF) serta pengoperasian lapangan terbang dan syarikat penerbangan secara lebih lestari.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, peralihan ke arah penerbangan rendah karbon memerlukan penyelarasan lebih erat antara lapangan terbang dan syarikat penerbangan, khususnya dari segi keutamaan operasi, perancangan infrastruktur dan pelaburan jangka panjang.
Beliau berkata, Malaysia Airports dan MAG memainkan peranan saling melengkapi dalam membangunkan industri penerbangan negara, dengan KLIA berfungsi sebagai pangkalan utama MAG dan pintu masuk antarabangsa terpenting negara.
“Komitmen bersama untuk memperkukuh kesalinghubungan Malaysia perlu diperluaskan kepada usaha membangunkan ekosistem penerbangan yang lebih mampan.
“Usaha penyahkarbonan kedua-dua organisasi tidak boleh dilaksanakan secara berasingan. Pelaburan dan keutamaan operasi perlu saling melengkapi bagi memastikan kemajuan yang lebih bermakna dapat dicapai bersama,” katanya.
Sementara itu, MAG baru-baru ini muncul sebagai kumpulan syarikat penerbangan pertama di ASEAN memperoleh pensijilan di bawah modul Perolehan Mampan menerusi Program Kelestarian Bersepadu Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
MAG turut menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia melupuskan unit pelepasan yang layak di bawah Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA), dengan sebanyak 80,100 unit dilupuskan bagi memenuhi obligasi pematuhan Fasa 1.
Dalam pada itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, kemajuan agenda kelestarian penerbangan mencerminkan semangat Malaysia Inc, yang menekankan kerjasama antara kerajaan, pengawal selia, pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan dan rakan industri bagi mencapai matlamat nasional.
Beliau berkata, melalui Pelan Hala Tuju Kelestarian Jangka Sederhana MAG 2026–2035, kumpulan itu menterjemahkan komitmen sifar bersih kepada sasaran yang boleh diukur merangkumi operasi dan keseluruhan rantaian nilainya.
“Langkah seterusnya ialah menterjemahkan keutamaan ini kepada tindakan melalui perkongsian lebih kukuh dan pelaksanaan yang diselaraskan merentasi ekosistem penerbangan,” katanya.
Pelan hala tuju berkenaan diselaraskan dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG, dengan tumpuan kepada operasi, kemudahan, rantaian nilai, modal insan dan tadbir urus.
Antara sasaran ditetapkan ialah mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30 hingga 35 peratus menjelang 2030 dan 40 hingga 45 peratus menjelang 2035, selain mengurangkan intensiti penggunaan tenaga bangunan sebanyak 20 peratus serta mencapai kadar pengalihan sisa daripada pelupusan sebanyak 55 peratus menjelang 2030. – UTUSAN











