KUALA LUMPUR: Beregu pecah ganding negara, Aaron Tai-Yap Roy King terus mencipta sensasi apabila berjaya mara ke separuh akhir buat kali ketiga daripada lima kejohanan yang disertai mereka sejak kali pertama beraksi bersama, bulan lalu.
Semalam, pasangan yang kini menghuni ranking ke-57 dunia itu mengejutkan beregu No. 15 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-16, 21-12 dalam masa 28 minit pada suku akhir Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun.
Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Roy King berjaya mempamerkan prestasi konsisten dengan menjejakkan kaki ke separuh akhir buat kali ketiga selepas berbuat demikian pada Terbuka Arctic di Finland dan Terbuka Hylo di Jerman.
Dalam tempoh tidak sampai dua bulan mereka digandingkan, Aaron-Roy King juga telahpun merangkul satu gelaran iaitu di Terbuka Arctic yang merupakan penampilan sulung pasangan tersebut pada Jelajah Dunia BWF.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky amat berharap beregu itu mampu mengekalkan prestasi konsisten pada masa akan datang dan sekali gus, menjadi pesaing kepada beregu senior bagi merebut tempat ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
“Aaron Tai (dan Roy King) kita harapkan mereka boleh konsisten terus dan kalau memang mereka punya konsisten positif terus saya rasa beregu ini berpeluang untuk rebut tempat ke Olimpik,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini, semalam.
Pada separuh akhir, hari ini, Aaron-Roy King akan berdepan beregu No. 14 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang mengalahkan wakil tuan rumah, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita 21-14, 21-14 dalam masa 38 minit.
Aaron-Roy King tidak memiliki rekod berdepan dengan Lundgaard-Vestergaard dan pasangan Denmark tersebut mampu menjadi ancaman terbesar dalam usaha mereka memburu gelaran pada kejohanan berstandard Super 500 itu. – UTUSAN
KAPSYEN
AARON TAI-YAP ROY KING










