Aaron-Roy King wakil tunggal Malaysia ke suku akhir

Aaron-Roy King wakil tunggal Malaysia ke suku akhir

AARON Tai (kiri) bersama Yap Roy King. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki yang menghuni ranking No. 57 dunia, Aaron Tai-Yap Roy King menjadi satu-satunya wakil yang meneruskan perjuangan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, esok.

Pasangan pecah ganding itu mengejutkan beregu No. 5 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 21-14, 21-15 dalam masa 28 minit pada pusingan kedua, hari ini.

Kedua-dua beregu tersebut belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini dan kemenangan yang dicatat Aaron-Roy King itu membolehkan mereka mendahului rekod pertemuan ke atas Sze Fei-Izzuddin dengan keputusan 1-0.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada suku akhir, esok Aaron-Roy King akan berdepan beregu yang menghuni ranking No. 15 dunia, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Beregu bimbingan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu belum pernah bertemu wakil Taiwan tersebut sejak mereka digandingkan bersama bulan lepas.

Sementara itu, langkah beregu No. 9 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terhenti di peringkat 16 terbaik selepas mereka tewas straight set kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 15-21, 18-21 dalam masa 34 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini keciciran di belakang beregu No. 14 dunia tersebut dengan rekod pertemuan berpihak kepada Lundgaard-Vestergaard 2-0.

Turut ditunjukkan jalan keluar adalah beregu campuran profesional Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang terpaksa akur lagi di tangan gandingan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-12, 21-19 dalam masa 33 minit.

Ini merupakan kekalahan ketiga Pang Ron-Pei Jing kepada beregu handalan China itu tanpa kemenangan yang mampu mereka catat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini