Tekanan global heret Bursa Malaysia susut sepanjang minggu - Utusan Malaysia

Tekanan global heret Bursa Malaysia susut sepanjang minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan jualan di Bursa Malaysia berterusan memasuki hari kelima dagangan berturut-turut, didorong sentimen negatif pasaran global, khususnya kebimbangan terhadap hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan sektor teknologi.

Sepanjang tempoh itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut kepada 1,582.59 mata pada penutup dagangan Jumaat, berbanding 1,616.68 mata pada Isnin, iaitu penurunan sebanyak 34.09 mata.

Indeks penanda aras itu ditutup pada 1,604.07 mata pada Selasa dan 1,595.19 mata pada Rabu sebelum terus merosot kepada 1,585.96 mata pada Khamis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kelemahan pasaran saham tempatan perlu dilihat dalam konteks perkembangan global dan bukan semata-mata disebabkan faktor domestik.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang memberi tekanan kepada pasaran saham tempatan, termasuk kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah AS susulan peningkatan inflasi negara itu melebihi jangkaan.

“Keadaan itu mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah pada Disember ini, sekali gus mendorong pelabur global mengurangkan pendedahan kepada pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.

“Ketidaktentuan saham teknologi dan sektor pusat data global, khususnya membabitkan Nvidia, turut memberi kesan kepada saham berkaitan di Bursa Malaysia.

“Antaranya, YTL Power yang merosot 8.1 peratus dalam tempoh sehari susulan perkembangan sektor berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, faktor domestik turut mempengaruhi sentimen pelabur dalam jangka pendek, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November yang mendorong pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Bagaimanapun, katanya, penurunan indeks penanda aras itu perlu dibezakan daripada kedudukan asas ekonomi negara yang masih kukuh.

“Kadar inflasi keseluruhan sebanyak 1.8 peratus pada September lalu menunjukkan tekanan harga domestik masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, kelemahan Bursa Malaysia ketika ini dipengaruhi gabungan pembetulan pasaran global, pengurangan pendedahan risiko oleh pelabur asing serta sentimen domestik yang lemah.

Katanya, keadaan itu tidak semestinya mencerminkan kemerosotan asas ekonomi negara, sebaliknya menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek pasaran saham dalam jangka pendek semakin terjejas.

Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran ketika ini, termasuk sentimen negatif pasaran saham global apabila pasaran Asia dan AS turut berdepan tekanan jualan.

“Selain itu, jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari AS, khususnya kemungkinan Fed mengekalkan dasar monetari ketat atau menaikkan kadar faedah, turut mempengaruhi keputusan pelaburan.

“Peningkatan kadar faedah dan hasil bon AS boleh mengurangkan daya tarikan aset berisiko seperti saham di pasaran sedang pesat membangun, sekali gus mendorong pengaliran keluar modal asing.

“Tekanan jualan oleh pelabur asing turut menjadi faktor apabila kumpulan itu mencatatkan jualan bersih saham Malaysia sebanyak RM21 juta pada 11 November lalu, manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing menjadi pembeli bersih.

“Faktor domestik termasuk perkembangan politik menjelang PRN Melaka, spekulasi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal serta penilaian semula portfolio menjelang perubahan komposisi FBM KLCI pada Disember depan turut mempengaruhi sentimen pelabur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini