PETALING JAYA: SKA Capital Berhad menyasarkan projek infrastruktur kuasa lebih besar dan kompleks menerusi usaha memperkukuh keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pencawang serta perkhidmatan utiliti bawah tanah susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Strategi pengembangan itu disokong dana sebanyak RM72.3 juta yang dikumpulkan menerusi tawaran awam permulaan (IPO), bagi membiayai pembelian mesin dan peralatan, memenuhi keperluan bon pelaksanaan projek serta modal kerja.
Pengarah Urusan SKA Capital, Datuk Subas Kumar Ambairam berkata, penyenaraian itu menyediakan platform lebih kukuh untuk kumpulan meningkatkan kapasiti operasi dan meneroka peluang baharu dalam sektor infrastruktur kuasa.
Katanya, peningkatan permintaan elektrik susulan pertumbuhan ekonomi, pelaburan industri, pembangunan pusat data, urbanisasi dan peningkatan elektrifikasi dijangka mendorong keperluan pelaburan berterusan dalam infrastruktur tenaga negara.
“Perkembangan ini memerlukan pelaburan berterusan dalam pencawang, rangkaian kabel bawah tanah dan infrastruktur kuasa berkaitan.
“Ini merupakan bidang yang mempunyai pengalaman, keupayaan teknikal dan rekod pelaksanaan projek untuk membolehkan kumpulan mengambil bahagian secara bermakna,” katanya.
Menurutnya, kumpulan akan memperdalam keupayaan dalam segmen EPCC pencawang dan utiliti bawah tanah, selain meningkatkan keupayaan melaksanakan beberapa projek secara serentak.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengembangan perniagaan akan dilaksanakan secara berdisiplin dengan memberi keutamaan kepada pemilihan projek yang bersesuaian serta kawalan kos, keselamatan, kualiti dan aliran tunai.
“Dari segi prestasi kewangan, SKA Capital merekodkan peningkatan hasil daripada RM44.4 juta pada tahun kewangan berakhir 2023 (FY2023) kepada RM241.4 juta pada FY2025.
“Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), hasil kumpulan mencecah RM270.7 juta, mengatasi hasil keseluruhan FY2025 sebanyak 12.1 peratus,” katanya.
Dalam tempoh sama, kumpulan mencatatkan keuntungan kasar RM54 juta, keuntungan sebelum cukai RM37.8 juta dan keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM26.1 juta.
Menerusi IPO pada harga RM0.43 sesaham, SKA Capital menerbitkan 168.1 juta saham baharu untuk mengumpul kira-kira RM72.3 juta.
IPO itu turut melibatkan tawaran untuk jualan sebanyak 72.4 juta saham sedia ada menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Syarikat yang memulakan operasi pada 2009 itu mempunyai kira-kira 17 tahun pengalaman dalam menyediakan penyelesaian kejuruteraan infrastruktur kuasa di seluruh Semenanjung Malaysia.
Melalui anak syarikat milik 70 peratus, Reltency Engineering Services Sdn. Bhd., kumpulan turut mengembangkan keupayaan untuk melaksanakan projek yang dianugerahkan secara langsung oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kontraktor utama.
Keupayaan itu melengkapi pengalaman sedia ada kumpulan dalam melaksanakan kerja berkaitan TNB sebagai subkontraktor kepada kontraktor utama lain, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan untuk mengakses lebih banyak peluang projek infrastruktur kuasa.
Selain perkhidmatan EPCC pencawang, kumpulan turut menyediakan perkhidmatan kejuruteraan awam dan struktur, kejuruteraan elektrik dan mekanikal, kejuruteraan utiliti bawah tanah serta perdagangan peranti elektrik, peralatan elektrik dan bahan binaan.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. – UTUSAN











