LBS lancar pembangunan premium The Reserva di Kwasa Damansara

LBS lancar pembangunan premium The Reserva di Kwasa Damansara

TAN Sri Ir. Dr. Lim Hock San
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:LBS Bina Group Berhad (LBS) menyasarkan pelancaran fasa pertama pembangunan kediaman premium The Reserva, iaitu Sherwood Residences di Kwasa Damansara, pada April atau Mei 2027, dengan keseluruhan pembangunan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.3 bilion. 

Pembangunan berkonsepkan The Quiet Side of Kwasa Damansara itu melibatkan kawasan pegangan bebas seluas 77.69 hektar dan dirancang sebagai pembangunan bersepadu yang menggabungkan kediaman premium, kawasan hijau serta kemudahan bandar.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. Dr. Lim Hock San berkata, pelancaran The Reserva merupakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan memperluaskan portfolio hartanah dengan menawarkan nilai tambah kepada pembeli rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, potensi tanah pegangan bebas di Kwasa Damansara mendorong LBS membangunkan projek berkenaan dengan penekanan terhadap keseimbangan antara kehidupan moden, alam semula jadi dan kemudahan infrastruktur.

“The Reserva bukan sekadar menawarkan kediaman, sebaliknya dirancang untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang memberikan ketenangan serta keselesaan kepada penduduk dalam jangka panjang.

“Kami melihat potensi besar pada tanah pegangan bebas ini dan menerusi The Reserva, jadi kami mahu menawarkan lebih daripada sekadar kediaman, iaitu persekitaran yang membolehkan penduduk menikmati ketenangan alam semula jadi, reka bentuk kediaman berkualiti serta kemudahan keterhubungan bandar.

“Kami percaya pembangunan ini mampu menawarkan nilai jangka panjang kepada pemilik rumah dan keluarga mereka untuk generasi akan datang,” katanya kepada pemberita dalam taklimat kepada media, di sini semalam.

The Reserva merangkumi 11 bahagian pembangunan yang disusun mengelilingi taman hutan seluas 19.83 hektar, dengan elemen kehijauan menjadi antara tarikan utama projek berkenaan.

Pelan induknya turut merangkumi sembilan taman awam, laluan pejalan kaki dan berbasikal sepanjang 23.72 kilometer serta perancangan pembinaan 15 sekolah baharu bagi menyokong pertumbuhan komuniti di kawasan itu.

Selain itu, pembangunan berkenaan turut menerapkan inisiatif rendah karbon dan ciri bandar pintar bagi menyokong persekitaran kehidupan yang lebih mampan serta cekap.

Dalam pada itu, Lim berkata, keseluruhan pembangunan The Reserva akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira 13 hingga 15 tahun, bergantung kepada keadaan pasaran dan permintaan pembeli.

Beliau yakin Kwasa Damansara mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang berikutan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam serta peningkatan aktiviti ekonomi yang dijangka menyokong permintaan hartanah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, LBS turut memberi keutamaan kepada pasaran tempatan sebelum mempertimbangkan peluang menarik pembeli antarabangsa, sekiranya terdapat permintaan bersesuaian.

Dari aspek keterhubungan, penduduk bakal menikmati akses kepada perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), bas pengantara serta rangkaian jalan raya dan lebuh raya utama.

Fasa kediaman pertama The Reserva ialah Sherwood Residence yang dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 10.9 hektar merangkumi 196 unit kediaman bertanah.

Daripada jumlah itu, sebanyak lapan unit merupakan banglo, 88 unit rumah berkembar dan 100 unit rumah teres superlink.

Menggunakan konsep Bright Forest, Sherwood Residence menggabungkan reka bentuk kontemporari dengan kontur semula jadi tanah, ruang terbuka dan persekitaran hijau.

Pembangunan berketumpatan rendah itu turut dirancang bagi memenuhi keperluan keluarga yang berkembang, termasuk isi rumah berbilang generasi yang memerlukan ruang kediaman lebih fleksibel dan selesa.

Menerusi slogan A Place Worth Preserving, LBS menyasarkan The Reserva menjadi destinasi kediaman premium yang menggabungkan nilai pemilikan hartanah pegangan bebas dengan persekitaran semula jadi serta kemudahan kehidupan bandar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini