Kalau berprinsip, semua menteri DAP kena letak jawatan - Tok Mat - Utusan Malaysia

Kalau berprinsip, semua menteri DAP kena letak jawatan – Tok Mat

MOHAMAD Hasan berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi DUN Duyong, Melaka. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua menteri DAP dicabar supaya meletakkan jawatan dan keluar daripada kerajaan sekiranya benar tindakan itu dibuat atas dasar prinsip, bukannya sekadar melibatkan seorang pemimpin parti berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peletakan jawatan hanya seorang menteri tidak cukup untuk membuktikan pendirian DAP, sekiranya pemimpin lain masih kekal dalam pentadbiran kerajaan.

“Kalau betul-betul DAP bercakap pasal prinsip, apa pasal satu orang saja pergi? Berhentilah semua. Keluar daripada kerajaan. Itu baru prinsip.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau setakat satu orang saja pergi, itu macam hujan gerimis yang tidak membasahkan badan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta sebagai Menteri Pengangkutan, susulan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Anthony memaklumkan keputusan meletakkan jawatan itu selaras dengan pendirian berprinsip yang pernah diumumkannya sebelum ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, tindakan menjadikan isu pengampunan sebagai alasan untuk meletakkan jawatan tidak wajar kerana kuasa pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Perlu diingatkan bahawa pengampunan ini adalah hak mutlak Agong. Perlu diingat, pengampunan adalah hak Raja-Raja Melayu di dalam Perlembagaan.

“Saya tiga penggal menjadi Menteri Besar, saya faham sangat pasal pengampunan ini,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan meletakkan jawatan atas alasan membantah keputusan pengampunan boleh dianggap sebagai mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ini tak ada kena-mengena dengan prinsip. Kalau meletakkan jawatan kerana itu, jelas sekali dia jatuh dalam kategori mempersoalkan hak mutlak Tuanku Agong,” katanya.

Mohamad mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara itu, sebaliknya memberikan tumpuan kepada masa depan pentadbiran Melaka.

“Janganlah kita terpesona sangat dengan wayang-wayang, sandiwara-sandiwara ini.

“Mari kita tumpukan untuk membina Melaka yang lebih berjaya selepas daripada pilihan raya ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini