MELAKA: Kemelut pentadbiran yang melanda Negeri Sembilan akan diselesaikan dalam masa terdekat menerusi rundingan dan kerjasama antara kepemimpinan utama UMNO dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mencari penyelesaian sedang dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan dengan baik.
Beliau berkata, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika ini adalah memastikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Katanya, persidangan serta pembentangan belanjawan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi membolehkan urusan pentadbiran negeri diteruskan.
“Keutamaan kita adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat, lebih-lebih lagi menjelang pembentangan belanjawan di Negeri Sembilan.
“Adalah mustahil sidang belanjawan ini dapat dilakukan jika tidak mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di hadapan Masjid An-Nur, Kampung Krubong di sini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan negeri sedia ada akan terus ditadbir dengan sebaiknya sementara usaha mencari titik penyelesaian terhadap kemelut berkenaan diteruskan.
Menurutnya, urusan pentadbiran negeri juga perlu digerakkan menerusi kerjasama semua pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri, penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri, pegawai daerah serta pegawai di peringkat mukim.
Beliau yakin pendekatan secara rundingan dan mencari titik persamaan mampu memastikan kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Jika kita mencari jalan penyelesaian, kita akan bertemu dengan titik pertemuan dan kebersamaan untuk menjadikan Negeri Sembilan itu ditadbir dengan baik,” katanya.
Beliau berharap kemelut berkenaan dapat ditangani secara harmoni dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi sebarang perbezaan politik.
Usaha itu penting bagi memastikan segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sementara penyelesaian muktamad dicapai. – UTUSAN










