KUALA LUMPUR: AirAsia gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Perusahaan yang mengarahkannya membayar RM268,620 kepada bekas juruterbangnya akibat pemecatan secara konstruktif.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md. Arshad mengekalkan keputusan tribunal berkenaan yang memihak kepada Eric Koh Kim Lai selepas mendapati tiada sebarang alasan kukuh untuk mahkamah campur tangan.
Katanya, syarikat penerbangan itu didapati gagal membuktikan sebarang kekhilafan ketara dari segi undang-undang mahupun fakta dalam keputusan yang dibuat tribunal itu pada 2024.
“Mahkamah ini mendapati perayu (AirAsia) gagal membuktikan sebarang kekhilafan ketara dari segi undang-undang atau fakta dalam keputusan tribunal itu.
“Pengerusi (Mahkamah Perusahaan) telah mengenal pasti isu utama dengan betul, iaitu sama ada responden (Eric) telah dipecat secara konstruktif akibat tindakan syarikat dan sama ada tindakan itu merupakan pelanggaran asas kontrak pekerjaan,” katanya.
Juruterbang itu mula berkhidmat dengan AirAsia pada Julai 2018 sebelum meletakkan jawatan selepas ditempatkan di bawah cuti tanpa gaji bersyarat pada 2022, ketika pandemik Covid-19.
Tindakan syarikat itu memotong 75 peratus gaji pokoknya susulan penggantungan operasi akibat sekatan sempadan telah menjejaskan pendapatannya, sekali gus memaksanya meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, AirAsia berhujah bahawa Eric meletakkan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan tindakan syarikat.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Perusahaan memutuskan syarikat penerbangan tambang murah itu tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memotong lebih 50 peratus gaji pekerjanya tanpa persetujuan bertulis.
Mengesahkan berlakunya pemecatan secara konstruktif, tribunal berkenaan memerintahkan AirAsia membayar pampasan keseluruhan berjumlah RM268,620 kepada Eric, merangkumi tunggakan gaji sebanyak RM232,320 dan pampasan menggantikan pemulihan jawatan bernilai RM36,300. – UTUSAN











