SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli untuk menggantung pembayaran ganti rugi RM220,000 kepada pendakwah Ebit Lew kerana memfitnah pendakwah itu pada 2023.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor memutuskan demikian setelah menolak rayuan yang difailkan Ariz, 40, pada Ogos lepas berhubung keputusan mahkamah terhadap kes saman difailkan Ebit berhubung tujuh kenyataan berbau fitnah melalui audio siar dan klip video diterbitkan Caprice sebelum ini.
Mahkamah juga memerintahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.
Pada prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Fatin Izyan Mazlan manakala Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal mewakili pempengaruh itu.
Pada 17 Ogos, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Caprice memohon maaf dan membayar ganti rugi serta kos sebanyak RM220,000 kepada Ebit kerana memfitnahnya.
Mahkamah semasa itu memerintahkan Caprice selaku defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM50,000), ganti rugi teladan (RM50,000), ganti rugi pampasan (RM50,000), ganti rugi teruk (RM50,000) dan kos RM20,000.
Zuhrina membuat keputusan itu setelah membenarkan saman fitnah Ebit selaku plaintif.
Beliau juga memerintahkan Caprice mengemukakan permohonan maaf kepada Ebit dan perlu dimuat naik, disiar, diterbit, diedar atau dihebahkan pada mana-mana laman media sosial di bawah kawalan, pengawasan atau jagaan Caprice dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dimeterai.
Pada 29 September 2023, Ebit memfailkan saman mendakwa rakaman oleh defendan antara lain membawa maksud dirinya melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan, seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.– BERNAMA











