PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM103 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 14 peratus kepada RM1.25 bilion, manakala keuntungan operasi melonjak lebih lima kali ganda kepada RM120 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, strategi dan langkah transformasi yang dilaksanakan kumpulan mula menunjukkan hasil meskipun industri berdepan keadaan pasaran yang mencabar.
Katanya, transformasi pengeluaran yang sedang dilaksanakan telah meningkatkan produktiviti tenaga kerja, selain membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan di semua kilang kumpulan.
“Langkah ini akan menyokong matlamat kami untuk meningkatkan pengeluaran tanpa pertambahan kakitangan secara sepadan, sekali gus mengukuhkan daya saing kos dalam jangka panjang.
“Bagaimanapun, lebihan kapasiti industri terus memberi tekanan kepada harga jualan, manakala pengalihan bekalan sarung tangan dari China meningkatkan persaingan di pasaran luar Amerika Syarikat (AS).
“Pertambahan kapasiti pengeluaran syarikat China di Asia Tenggara turut menambah tekanan persaingan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 83 peratus kepada RM33 juta berbanding RM18 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil pula meningkat kira-kira 20 peratus kepada RM645 juta, manakala keuntungan operasi hampir tiga kali ganda lebih tinggi kepada RM40 juta.
Prestasi pendapatan lebih kukuh itu didorong harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi serta pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos, termasuk memperketat kawalan perbelanjaan dan meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Langkah berkenaan membantu mengimbangi peningkatan kos pengeluaran, khususnya bahan mentah susulan gangguan bekalan akibat ketegangan geopolitik.
Dalam pada itu, kedudukan tunai bersih kumpulan terus mengukuh kepada RM1.19 bilion setakat 30 September 2026.
Mun Leong berkata, tarif lebih tinggi yang dikenakan ke atas sarung tangan buatan China serta hubungan kukuh dengan pelanggan sedia ada di AS memberi kelebihan kepada kumpulan untuk memanfaatkan peluang meningkatkan jualan di pasaran berkenaan.
“Kami terus memberi tumpuan kepada usaha merebut peluang ini, mengurangkan jurang kos dan harga jualan purata (ASP), selain meningkatkan kecekapan operasi di semua kilang,” katanya. – UTUSAN










