PETALING JAYA: Semua pelaporan kewangan dan prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu dirombak semula.
Ini termasuk meletakkan semua pelaburan dan penilaian risiko kedua-dua entiti itu dilaporkan terus kepada Parlimen serta memastikan bebas daripada campur tangan politik dalam menentukan sebarang keputusan syarikat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, GLC dan GLIC harus bertanggungjawab kepada Parlimen, bukannya kepada Perdana Menteri atau Menteri dan ia perlu dipertimbangkan secara serius.
Katanya, langkah itu juga memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan harta awam serta untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan campur tangan politik dalam keputusan korporat.
“Jika GLC dan GLIC bertanggungjawab kepada Parlimen, ia akan melalui semakan dan kawal selia yang lebih menyeluruh dan objektif.
“Parlimen sebagai badan legislatif mewakili rakyat secara keseluruhan dan mempunyai kuasa untuk memastikan polisi dan pelaburan oleh GLC dan GLIC adalah demi kebaikan negara dan bukan untuk kepentingan politik atau pihak tertentu.
“Malah ia dapat mengurangkan risiko campur tangan politik. Ini kerana ahli politik berpotensi menggunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi atau parti, seperti melantik individu tidak kompeten tetapi berpihak kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, negara dikejutkan dengan isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Perkara itu menyebabkan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen menggesa agar isu pengurusan dan tatakelola dalam badan berkanun, GLC dan GLIC perlu ditangani segera.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 GLC bagi mewujudkan era tadbir urus lebih baik, selain untuk memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selari dengan hasrat untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
Menurut Jais, dengan menjadikan Parlimen sebagai badan pemantau, keputusan pelantikan dan polisi lebih telus serta berdasarkan merit.
“Sekiranya mereka dilihat sebagai bebas daripada pengaruh politik, kepercayaan awam terhadap institusi-institusi ini akan meningkat.
“Ia juga akan meningkatkan keyakinan pelabur asing yang melihat Malaysia sebagai negara dengan struktur tadbir urus yang mantap dan telus,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua Laporan Kewangan Badan Berkanun Persekutuan dibentangkan di Parlimen sekiranya disenaraikan di Bursa dan boleh diakses melalui Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Katanya, difahamkan terdapat pembentangan laporan-laporan oleh badan berkanun setiap tahun dan ia juga membabitkan laporan kewangan dan prestasi.
“Semua Laporan Kewangan Badan Berkanun Persekutuan dibentangkan di Parlimen bagi GLIC dan GLC sekiranya ia disenaraikan di Bursa, ia boleh diakses melalui Suruhanjaya Sekuriti,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










