Negara tidak harus jadi mangsa ‘kolonialisme teknologi’ – Fahmi - Utusan Malaysia

Negara tidak harus jadi mangsa ‘kolonialisme teknologi’ – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Malaysia menggesa supaya hak setiap negara menentukan dasar telekomunikasi sendiri dihormati, sambil memberi amaran terhadap ancaman ‘kolonialisme teknologi’ yang membolehkan negara lebih maju menentukan cara negara lain membangunkan dan menggunakan infrastruktur digital mereka.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setiap negara perlu bebas menentukan hala tuju teknologi masing-masing ketika persaingan geopolitik dan persaingan antara ekosistem teknologi semakin mempengaruhi pembangunan telekomunikasi global.

“Tidak seharusnya wujud keadaan kolonialisme teknologi, iaitu apabila sesebuah negara lebih maju menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta dilaksanakan oleh negara lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap negara mempunyai kedaulatan sendiri dan seharusnya berhak menentukan dasar masing-masing,” katanya ketika menyertai perbincangan panel peringkat menteri pada Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di sini.

Fahmi berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G menunjukkan pentingnya kebebasan menentukan dasar di samping mengurus pertimbangan geopolitik dan diplomatik yang kompleks.

Katanya, Malaysia pada awalnya menggunakan model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G walaupun GSMA Intelligence tidak mengesyorkan pendekatan itu, sebelum beralih kepada model dwirangkaian.

“Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri kerana kita melaksanakan perkara yang tidak disarankan oleh GSMA Intelligence, iaitu melancarkan 5G menggunakan model rangkaian borong tunggal. Namun, kita tetap melaksanakannya dan saya ialah menteri yang bertanggungjawab menguruskan peralihannya kepada model dwirangkaian,” katanya.

Beliau menyifatkan peralihan itu sebagai satu cabaran kerana Malaysia perlu mengurus sensitiviti diplomatik sambil mengimbangi keutamaan domestik dengan piawaian teknologi antarabangsa.

Menurutnya, perbincangan mengenai kedaulatan digital perlu merangkumi prinsip kedaulatan negara secara lebih menyeluruh, termasuk keupayaan berdikari dalam bidang teknologi.

“Dalam era yang semakin multipolar ini, kita perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dan penglibatan serta mencari titik persamaan, bukannya perkara yang memecahbelahkan kita,” katanya.

Fahmi berkata, keupayaan pelbagai rangkaian dan teknologi telekomunikasi untuk beroperasi bersama akan diuji apabila negara melaksanakan strategi digital masing-masing.

Katanya, ASEAN mengamalkan pendekatan berasaskan konsensus dan memberi penekanan kepada kedaulatan setiap negara anggota, memandangkan blok itu tidak mempunyai parlimen pusat.

Sehubungan itu, beliau berkata, negara perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk membina kepercayaan dan memastikan rangkaian serta teknologi masing-masing dapat beroperasi bersama.

Fahmi turut menekankan keperluan membantu negara membangun merapatkan jurang digital ketika sektor telekomunikasi bersiap sedia menghadapi peralihan kepada teknologi kuantum dan komunikasi selamat kuantum.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperluas penggunaan rangkaian sedia ada sebelum industri beralih sepenuhnya kepada teknologi generasi keenam (6G).

“Sebelum kita bercakap mengenai 6G, kita perlu melihat sejauh mana 5G atau 5G-Advanced benar-benar digunakan. Perkara itu masih menjadi cabaran utama yang sedang kita tangani secara aktif di Malaysia,” katanya.

Fahmi yakin kerjasama antarabangsa dapat mencetuskan inovasi, termasuk daripada negara yang selama ini tidak dianggap sebagai peneraju teknologi dunia.

“Terdapat pelbagai cabaran, namun banyak juga peluang untuk kita mencari penyelesaian bersama-sama, dan adakalanya penyelesaian itu mungkin datang daripada negara yang tidak pernah kita jangkakan,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini