MELAKA: Tindakan pengendali akaun media sosial yang sewenang-wenangnya menggunakan atau menyiarkan semula kandungan berita media arus perdana tanpa kebenaran dan pengiktirafan terhadap organisasi penerbit asal merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan pihak tertentu mengambil hasil kerja wartawan tanpa memberikan kredit kepada organisasi media yang menghasilkan laporan berkenaan.
Menurutnya, perbuatan itu tidak wajar memandangkan setiap laporan berita memerlukan komitmen dan usaha petugas media yang menjalankan tugasan di lapangan.
“Ini peringatan, terutama kepada pengendali akaun media sosial supaya tidak mengambil kandungan daripada media arus perdana atau media rasmi tanpa persetujuan dan kebenaran pihak yang menghasilkan berita itu.
“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak mengambil kesempatan atas penat lelah kerja yang telah dilaksanakan rakan-rakan media,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Media Utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di sini hari ini.
Menurut Fahmi, wartawan yang mendapati kandungan hasil kerja mereka disalin atau digunakan tanpa kebenaran boleh mengemukakan aduan kepada Majlis Media Malaysia (MMM).
Katanya, aduan juga boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya kesalahan berkenaan membabitkan platform media sosial.
Beliau berkata, sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Melaka turut dibuka sebagai pusat sokongan kepada pengamal media sepanjang tempoh PRN.
Fahmi turut mengingatkan semua calon yang bertanding supaya menghormati kehadiran pengamal media sepanjang tempoh berkempen.
“Sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan atau keselesaan petugas media perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN











