Cermin diri, Ab. Rauf nasihat Adly

Cermin diri, Ab. Rauf nasihat Adly

AB. Rauf Yusoh bersama calon BN kerusi DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ketika melawat Bilik Gerakan BN Telok Mas, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELOK MAS: Lebih baik cermin diri supaya tahu apa yang telah dilakukan untuk rakyat.

Itu respons Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr. Ab. Rauf Yusoh ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yang mempertikaikan prestasi pentadbiran kerajaan negeri diterajui BN.

Ab. Rauf berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut dakwaan Adly berhubung isu kemudahan awam dan penyelenggaraan di Melaka kerana tidak mahu menyentuh rekod pentadbiran bekas Ketua Menteri itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tak tahu daripada sudut mana dia mendapatkan pendapatan-pendapatan tersebut, tapi saya tak nak ulas kerana beliau juga pernah jadi Ketua Menteri. Saya pun tak nak ulas masa dia jadi Ketua Menteri apa yang dia buat.

“Jadi, lebih baiklah kita cerminkan diri kita supaya kita tahu apa yang kita buat untuk rakyat. Saya ingat orang Melaka tahu apa yang kita buat, yang tak tahu dia,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Telok Mas di sini hari ini.

Sebelum ini, Adly mendakwa isu banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam, khususnya Melaka Sentral, masih membelenggu rakyat meskipun BN diberi mandat memenangi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Adly berkata, mandat hampir 75 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya dalam aspek perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.

Mengulas kempen PRN Melaka kali ini, Ab. Rauf berkata, semua parti perlu mengamalkan kempen secara berhemah dan tidak menjadikan politik kebencian, hasutan serta fitnah sebagai pendekatan untuk meraih sokongan.

“Jadi saya menyarankan bahawa kita boleh berkempen, tapi kempen cara berhemah, yang mana Melaka tidak mengamalkan politik kebencian, politik hasutan, politik jahat ataupun politik fitnah.

“Biar orang lain buat, kita hanya bercerita tentang apa yang telah kita laksanakan kepada rakyat dan apa yang rakyat dapat dalam kita menguruskan negeri ini selama lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, BN tidak seharusnya menjadikan sambutan orang ramai pada hari penamaan calon sebagai ukuran kemenangan, sebaliknya perlu terus mempergiat usaha dan menyusun gerak kerja kempen dengan lebih teratur.

Katanya, BN perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu terus diperkukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini