Irfan Syahmi Nasution, dari graduan undang-undang ke dunia penyiaran - Utusan Malaysia

Irfan Syahmi Nasution, dari graduan undang-undang ke dunia penyiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua yang bergelar pengacara memulakan perjalanan dengan impian untuk berada di hadapan kamera, apatah lagi apabila latar belakang pendidikan yang dimiliki langsung tidak berkaitan dengan dunia penyiaran.

Bagi pengacara, Irfan Syahmi Nasution, perjalanan membina kerjaya dalam industri itu bermula secara sederhana ketika menuntut di Universiti Malaya (UM), tempat dia melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Bermula dengan mengendalikan majlis di kampus, Irfan kini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Selamat Pagi Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selain pernah mengendalikan pelbagai program dan acara berprestij.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya, peluang pertama Irfan dalam dunia penyiaran televisyen hadir ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pada 2021, sekali gus menjadi titik perubahan dalam perjalanan kerjayanya.

Mengimbas kembali detik awal pembabitannya, Irfan berkata, minat untuk mencuba sesuatu yang baharu mendorongnya aktif mengendalikan pelbagai acara sepanjang berada di universiti.

“Saya graduan undang-undang, dan disebabkan saya jenis yang tak boleh duduk diam, saya mula mencari aktiviti di luar kuliah yang boleh buat saya gembira dan pada masa yang sama berkenalan dengan orang baharu.

“Dari situlah saya mula menjadi pengacara majlis di UM. Saya berpeluang mengendalikan acara besar seperti Festival Seni UM (FESENI), Karnival Teater UM (KARVITER), Sukan Mahasiswa UM (SUKMUM) dan Festival Konvokesyen UM (FESKUM). Pada mulanya, saya buat kerana minat, tetapi tanpa sedar, pengalaman itulah yang membuka jalan kepada kerjaya saya hari ini,” katanya.

Rezeki Irfan mula berubah apabila dia mendapat tahu Media Prima sedang mencari pengacara baharu ketika pandemik Covid-19.

Ketika itu, dia berada di Kolej Kediaman Pertama UM sebelum menerima mesej WhatsApp daripada Dr. Nash, yang ketika itu merupakan felo kolej, mengenai peluang berkenaan.

Tanpa berlengah, Irfan menghantar resume dan video uji bakat bagi mencuba nasib. Keputusan itu akhirnya membawa kepada satu pertemuan yang sukar dilupakan bersama individu yang dikaguminya sendiri, pengacara berpengalaman, Ally Iskandar.

“Saya masih ingat ketika menghadiri uji bakat di Sri Pentas, saya ditemu bual oleh idola saya sendiri, Ally Iskandar. Selepas meneliti resume dan bertanyakan beberapa soalan, beliau bertanya, ‘Bila Irfan boleh mula mengacara untuk kami?’

“Kebetulan saya sedang bercuti pertengahan semester. Saya terus menjawab, ‘Bang, esok saya boleh mula!,” katanya.

Keberanian menyahut peluang itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila Irfan memulakan langkah sebagai pengacara televisyen untuk DidikTV KPM di NTV7 pada 23 Februari 2021.

Selepas kira-kira dua tahun menimba pengalaman, dia sekali lagi memberanikan diri menyertai uji bakat pengacara Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Daripada kira-kira 15 finalis, Irfan terpilih untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. Dia turut diberi peluang mengendalikan program Cuit Sikit Jangan Sentap serta menjadi pengulas untuk program berskala besar seperti Quran Hour dan MAHA.

Kemuncaknya, antara pengalaman paling bermakna dalam perjalanan kerjayanya adalah apabila dipilih menjadi pengacara karpet merah Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 2025.

Bagi Irfan, pencapaian itu menjadi bukti bahawa peluang yang pada mulanya kelihatan kecil mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh daripada jangkaan.

“Antara pengalaman paling manis adalah apabila saya dipilih menjadi pengacara karpet merah Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena of Stars, Genting Highlands, pada tahun 2025. Saya tak pernah membayangkan bahawa perjalanan yang bermula dengan mengacarakan acara di universiti akhirnya membawa saya ke pentas sebesar itu.

“Bagi saya, semuanya bermula dengan keberanian untuk mencuba. Kita tidak semestinya tahu ke mana sesuatu peluang akan membawa kita, tetapi apabila peluang itu datang, kita perlu berani mengambilnya dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Irfan, minat terhadap pengacaraan bukan hanya berkisar pada keseronokan berada di hadapan kamera, sebaliknya turut didorong kecenderungannya berkomunikasi, membina jaringan dan mendengar kisah daripada individu berlainan latar belakang.

Bagaimanapun, pengalaman dalam industri mengajarnya bahawa kebolehan bercakap semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan seseorang mampu bertahan sebagai pengacara.

“Namun, semakin lama saya berada dalam industri ini, semakin saya sedar bahawa pengacaraan bukan sekadar tentang kebolehan bercakap. Kita perlu mempunyai ilmu, membuat persediaan dan tahu bagaimana hendak membawa sesuatu perbualan supaya penonton mendapat manfaat daripadanya.

“Apabila mengendalikan Selamat Pagi Malaysia, misalnya, saya bukan sekadar berbual dengan tetamu di studio. Saya perlu membantu penonton memahami pelbagai isu, daripada perkara yang dekat dengan kehidupan seharian hinggalah topik yang lebih kompleks,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini