Kehilangan bapa bukan halangan raih Anugerah Emas Canselor Konvokesyen UTP - Utusan Malaysia

Kehilangan bapa bukan halangan raih Anugerah Emas Canselor Konvokesyen UTP

LIM Mei Zhen bersama bapa saudaranya, Chong Cho Man menunjukkan Anugerah Emas Canselor pada Majlis Konvonkesyen UTP Ke-26 hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT:  Kehilangan bapa akibat Covid-19 ketika berusia 18 tahun tidak mematahkan semangat Lim Mei Zhen untuk mengubah nasib keluarga menerusi pendidikan.

Malah pengorbanan dan ketabahannya membuahkan kejayaan apabila dia menerima Anugerah Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Ke-26 di sini hari ini.

Mei Zhen, 23, anak ketiga daripada empat beradik dari Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, pemergian bapanya memberi kesan besar terhadap kehidupannya, terutama ketika dia masih memerlukan sokongan keluarga untuk meneruskan pengajian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih mencabar, kehilangan insan yang menjadi tempat bergantung menyebabkan dia dan adik-beradiknya terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebelum mendapat tempat berlindung apabila ibu saudara dan bapa saudaranya mengambil mereka tinggal bersama.

“Kasih sayang dan pengorbanan emak dan bapa saudara menjadi sumber kekuatan untuk saya meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, sekali gus memperoleh Kepujian Kelas Pertama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen UTP Ke-26 di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan abangnya memperoleh ijazah meskipun berdepan kekangan kewangan turut menjadi pencetus semangat untuknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, abangnya berjaya memperoleh ijazah walaupun berdepan kekangan kewangan dan ini memberikan semangat kepadanya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Selain itu, bantuan biasiswa penuh daripada Yayasan UTP membolehkan saya menamatkan pengajian selama lima tahun tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“Terima kasih kepada Yayasan UTP dan semua penyumbang yang menaja pengajian saya. Dengan bantuan itu, saya dapat meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan dalam perkara yang saya lakukan,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian, Mei Zhen berhasrat memulakan kerjaya dalam sektor kewangan, selain mahu membalas jasa ibu saudara dan bapa saudaranya yang banyak membantu ketika keluarga mereka berdepan kesukaran.

“Saya mahu bekerja keras untuk membalas jasa mereka, khususnya membantu menampung kos pembedahan lutut ibu saudara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini