Sabar dan tasamuh di jalan raya, elak korban nyawa

Sabar dan tasamuh di jalan raya, elak korban nyawa

MOHD. FIKRI HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN negara menerusi pelbagai infrastruktur asas antaranya seperti jalan raya untuk memudahkan perjalanan seseorang atau kumpulan ke tempat kerja mencari rezeki dan urusan tertentu jauh dan dekat sewajarnya disyukuri rakyat akan nikmat berkenaan.

Pengguna jalan raya juga telah diperuntukkan akta dan peraturan keselamatan lalu lintas dan jalan raya oleh pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan masing-masing.

Agak mengecewakan apabila semakin banyak kemudahan jalan raya menjalar di segenap pelosok negara, semakin ramai pula dilaporkan mengalami kecederaan parah malahan ramai maut meninggalkan keluarga tersayang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Imam Satu Masjid Sultan Ahmad Shah Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, Imam Mohd. Fikri Hamzah berkata, kemalangan jalan raya berpunca apabila pengguna tidak mematuhi peraturan, sikap mementingkan diri, tidak sabar, terburu-buru dan menunjukkan ego tanpa menghiraukan keselamatan orang lain.

“Pengguna jalan raya perlu rasional dan mengambil berat dengan mematuhi peraturan, memelihara kemudahan ini dengan menjadikan tempat yang selamat dan bukan menempah maut.

“Kita perlu meletakkan sikap sabar, toleransi (tasamuh), bertimbang rasa dan sentiasa berwaspada pada setiap masa terutama sekali ketika waktu puncak seperti kesesakan jalan raya, pada musim perayaan sekalipun pemanduan secara bersantai,” katanya di Bandar Pusat Jengka, Maran baru-baru ini.

Katanya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhamad bersabda: ‘Kesabaran merupakan cahaya yang terang …’

Mohd. Fikri berkata, sikap yang cuai apatah lagi menunjukkan ego semasa pemanduan atau menunggang motosikal boleh mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, kecederaan atau kematian.

Beliau berkata, etika beradab dan bersopan ketika berada di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya antara kunci utama bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 63, bermaksud: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Katanya, sebagai pengguna jalan raya, selain menjaga keselamatan diri, kita wajar mengutamakan keselesaan pengguna lain berlandaskan disiplin dengan memberikan laluan kepada pihak atau mereka yang memerlukan seperti ambulans, pejalan kaki, pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan, orang yang melintas hatta haiwan sekalipun ketika berada di atas jalan.

Beliau menambah, sekiranya, kita menolong dan memudahkan urusan orang lain, maka Allah akan menolong kita seperti hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim (2699) daripada Abu Hurairah RA, di mana Rasulullah bersabda: “Dan Allah sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.”

Katanya, sebagai pengguna jalan raya, kita berusaha dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kemalangan dan mengurangkan risiko mala petaka dengan orang lain untuk menjamin keselamatan diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Pihak berkuasa, katanya, telah mengadakan pelbagai kempen dan kaedah untuk mengurangkan kadar kemalangan dengan kerap mengadakan pemeriksaan lesen, cukai jalan dan spesikasi peralatan kenderaan, pematuhan had laju dan sebagainya.

“Di pihak pemilik kenderaan sendiri perlu memastikan peralatan kenderaan seperti brek dan sebagainya tiada mengalami kerosakan, memakai tali pinggang keledar selain tidur yang mencukupi bagi pemanduan jarak jauh dan mengelakkan penggunaan bahan terlarang,” katanya.

Mohd. Fikri berkata, sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa berzikir dan berdoa memohon perlindungan Allah ketika memulakan pemanduan kenderaan dan mengelakkan mendepani bencana dan kejahatan sama ada daripada manusia, jin dan syaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini