SEPANG: Pelumba Colombia, David Alonso melakar kemenangan keduanya musim ini selepas mengungguli perlumbaan kelas Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang di sini, hari ini.
Alonso yang mewakili pasukan CFMoto RCB Aspar Team itu mencatat masa terpantas 35 minit 44.732 saat (s) dan sekali gus mengutip 25 mata penuh.
Sebelum ini, pelumba berusia 20 tahun itu meraih kemenangan pada GP Belanda yang merupakan kejayaan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto2, musim ini.
Naib juara menjadi milik, rakan sepasukannya, Daniel Holgado setelah mencatat masa 35:46.664s, manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Angel Piqueras dari pasukan QJMoto-MSi dengan lakaran masa 35:48.297s.
Sementara itu, Ivan Guevara dari pasukan BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 menamatkan aksinya di kedudukan keempat (35:50.914s), manakala, Manuel Gonzalez dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP di tempat kelima ( 35:58.862s).
Gonzalez yang merupakan pendahulu Kejuaraan Dunia Moto2 masih belum mampu digugat selepas dia menokok 11 mata dan sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan 276.5 mata.
Guevara masih mengekori rapat Gonzalez di kedudukan kedua dengan 273 mata selepas meraih tambahan 13 mata pada GP Malaysia. – UTUSAN











