Ramai hanya mengenali seniman Datuk Jamil Sulong kerana ketokohannya dalam bidang perfileman Melayu.
Jamil Sulong mengarah dan menulis skrip filem tetapi di sebalik nilai kesenimanan itu beliau juga prolifik mencipta lagu dan seni kata untuk tujuan perfileman.
Di sebalik itu semua, Jamil anak kelahiran Parit Sulong Batu Pahat, Johor juga mempunyai kecenderungan mencatat bait-bait bahasa indah untuk dicatat dalam kanvas puisi tetapi dilakukan sebagai karya khazanah persendirian yang akhirnya dapat dihidu Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.
Antara filem terkenal Batu Belah Batu Bertangkup (1959) Si Tanggang, Lela Manja Raja Bersiong Ranjau Sepanjang Jalan (1983) manakala lagu yang liriknya ditulis oleh Jamil ialah Berkorban Apa
Saja nyanyian Tan Sri P. Ramlee, Anak Ku Sazali (P. Ramlee), Azizah (P. Ramlee, Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) dan Tiru Macam Saya (Saloma).
Karya karya tersebut seolah-olah membayangi satu lagi ketokohan Jamil yang sebenarnya berkarya untuk khazanah sastera tanah air.
Sebenarnya Jamil bukan sekadar pengarah filem kerana beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan gerakan sastera Melayu dan merupakan antara tokoh yang dikaitkan dengan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Beliau turut menghasilkan memoir Kaca Permata – Memoir Seorang Pengarang.
Pendedahan mengenai pembabitannya dalam bidang penulisan menunjukkan Jamil tokoh seni serba boleh yang berjaya menghubungkan dunia filem, muzik dan sastera Melayu.
Beliau menulis beberapa sajak luahan daripada perasaan hati sendiri dan Johan menghidu pembabitannya itu sebelum berbincang dengan isteri Allahyarham Datuk Rosnani. Johan yang masih berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudian menggerakkan usaha dengan membawa beberapa pegawai DBP ke bertemu Rosnani di kediamannya di Petaling Jaya tahun lalu.
Menurut Johan, Rosnani menunjukkan beberapa sajak nukilan Jamil yang akhirnya menjadikan satu inisiatif untuk menerbitkannya sebagai bukti penghargaan kepada karya-karya Jamil dalam genre tersebut.

Maka hasil usaha dan saranan Johan supaya karya karya tersebut diantologikan, lahirlah Bendahara Hati yang mengandungi 100 buah karya yang terdiri daripada 35 pantun, 19 sajak mini dan 46 sajak.
Sebanyak 100 buah karya ini mengisahkan pelbagai dogma kehidupan melalui renungan seorang lelaki terhadap lingkaran perjuangannya yang terisi dengan jentikan rasa peribadi dan semangat warga yang sejati terhadap seni, budaya dan bangsanya.
Bayangkan dalam kesederhanaan kata tersimpan kebiasaan yang membawa cerita, sehingga keunikan dan keanehan karya sasteranya dalam kaca mata yang menduga kita kerana beginilah cara bahasa sastera dihasilkan oleh orang filem dengan menukilkan kata fikir rasa berbanding dengan bahasa dialog yang bermonolog.
Menurut DBP, pada saban tahun, Bahagian Majalahnya akan melaksanakan program berbentuk wacana sebagai satu bentuk perkongsian ilmu dengan mengupas topik menarik yang telah diterbitkan atau akan diterbitkan menerusi majalah, atau isu semasa yang berlegar di dalam dan di luar negara oleh pakar bidang yang berkaitan dengannya.
Sejajar dengan usaha DBP untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, Bahagian Majalah bersinergi dengan Bahagian Buku Sastera dan Bahagian Multimedia selaku penerbit program untuk melaksanakan majlis pelancaran antologi Puisi Bendahara Hati
Objektif program tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara khalayak pembaca buku dan majalah dengan DBP, menyalurkan maklumat melalui promosi kandungan buku dan majalah terbitan DBP, membangunkan pemikiran bangsa melalui program berbentuk keilmuan berteraskan kebahasaan, kebudayaan dan kesenian.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, buku tersebut diterbitkan atas saranan Johan kerana nilai kesenimanan penulisnya.

“Bagi DBP, karya sebegini bukan setakat sebagai menyahut hasrat menerbitkannya, tetapi juga memaknakan karya ini pada zaman yang seumpama “sebutir permata dalam timbunan pasir”.
“Buku kumpulan puisi Bendahara Hati ni terzahir di depan kita sebagai khazanah yang cukup bermakna dan bersejarah untuk kita nikmati dalam bahasa puisinya yang sederhana, tetapi lunak dan damai, ujarnya yang turut merakamkan penghargaan kepada Rosnani.
Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dan diadakan bersekali dengan program Suara Dari Anjung: Dewan Budaya. Hazami turut menyifatkan Jamil bukan sahaja mengukir nama pada persada perfileman negara, tetapi juga mewariskan pemikiran, pesanan, ingatan dan gagasannya kepada kita dan antologi puisi yang cukup bermakna serta penuh nostalgia hasil ilham bestari seorang seniman agung yang mempunyai kehalusan jiwa untuk menghayati masa silam sebagai renungan masa hadapan.
Bayangkan kata Hazami, dalam kesederhanaan kata tersimpan kebiasaan yang membawa cerita, sehingga keunikan dan keanehan karya sasteranya dalam kaca mata yang menduga kita kerana beginilah cara bahasa sastera dihasilkan oleh orang filem dengan menukilkan kata fikir rasa berbanding dengan bahasa dialog yang bermonolog.
“Benarlah kata pujangga lama, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
Pada bahagian belakang buku tertulis catatan
Kalau pun sekali sekala saya ada menulis sajak hanyalah untuk meluahkan perasaan dan fikiran sendiri, dan kadang-kadang sajak itu dijadikan bahan simpanan sendiri.
Akan tetapi zaman beredar terus dan senja hidup kita ini sudah pun menjadi semakin tua, tetapi terniat pula , sajak-sajak persendirian ini akan tinggal berlapuk lapuk dalam simpanan dan tiada siapa yang mengetahuinya. Daripada situ eloklah saya jadikan bahan peninggalan dan tanda yang diri ini ada juga mempunyai minta walaupun tidak sebaik mana, tetapi semoga sama-sama dapat diminati oleh lain -lain teman.
Kalau pun koleksi persendirian ini dapat dijadikan bahan cetakan dan bacaan ramai, bukanlah maksudnya untuk bertanding dan bersaing dengan penyajak-penyajak lain yang sudah jelas kematangan mereka dalam sastera jenis ini.
Harapan saya hanya minta diingati sebagai seorang hamba Allah yang juga pernah berkecimpung dalam lapangan ini.
– Jamil Sulong-UTUSAN










