SATU dakwaan yang maha berat apabila saya terbaca mengenai primadona filem Melayu, Fauziah Ahmad Daud mempunyai cahaya mata hasil perhubungannya dengan seorang kerabat.
Malah, apabila perkara itu diajukan kepada individu yang mesra disapa sebagai Kak Ogy, beliau menegaskan dakwaan itu hanyalah fitnah semata-mata.
Beliau malah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya zuriat tersebut kini berada di Singapura.
“Sememangnya itu adalah fitnah semata-mata. Tapi saya ucapkan terima kasih kepada penyebar fitnah kerana memberi pahala kepada saya. Saya ini tidak pernah mempunyai zuriat, baik bersama bekas suami atau dengan sesiapa pun, sebelum menikah atau selepas.
“Saya cuma mempunyai seorang anak angkat yang saya jaga sejak dia berusia 10 bulan yang bernama Nor Aminah Aishah. Memiliki zuriat itu fitnah. Jika pun saya ada anak, saya tak akan tutup cerita dia, kerana anak tidak bersalah,” katanya ketika dihubungi Pancaindera.

Fauziah dalam masa sama mengakui dia pernah bercinta dengan kerabat tersebut namun putus ditengah jalan gara-gara perbezaan darjat.
“Percintaan itu memang wujud. Ia sesuatu yang tidak saya jangkakan kerana perasaan kami dipegang Allah.
“Namun hubungan kami tidak ke jenjang pelamin. Ibarat kata arwah mak saya, enggang dan pipit tidak terbang bersama.
“Jodoh kita ini ditentukan Allah. Saya berpegang dengan kata-kata itu. Tapi kami tidak mempunyai anak bersama,” katanya lagi.
Fauziah dalam pada itu bersyukur kerana anak angkatnya yang kini berusia 18 tahun tidak menunjukkan minat dalam bidang seni sebaliknya lebih terarah kepada bidang psikologi.
“Saya pun tidaklah menggalakkan anak saya untuk masuk ke dalam bidang seni mengenangkan dugaan dan pancarobanya terlalu besar. Saya pernah juga bertanyakan kepadanya tentang dunia lakonan, namun dia memang tidak berminat. Biarlah dia memilih bidang yang diinginkannya,” kongsinya.

KALAU ARWAH IBU BACA ARTIKEL ITU
Fauziah Ahmad Daud, seperti yang kita kenali, sememangnya primadona yang disenangi dan cukup mesra dengan wartawan. Beliau dekat dengan pengamal media antara lain disebabkan keterbukaannya bercerita perihal dunia seni dan kerjaya seorang pelakon.
Bahkan, dia sudah lama memaafkan seorang wartawan yang pernah menulis artikel berbaur fitnah mengenai bapanya yang menurut artikel itu, berkahwin dua.
“Ketika penghujung 80-an dulu, saya pernah berjumpa serampang dua mata dengan pemilik majalah berkenaan yang mengeluarkan artikel tidak benar mengenai bapa saya berkahwin dua.
“Artikel itu saya anggap sebagai melampau batas kerana perkara yang dinyatakan tidak benar, selain menyentuh rumah tangga kedua orang tua saya. Kami duduk serumah sudah pasti mengenali bapa saya yang melayan arwah ibu bagai menatang minyak yang penuh. Jadi saya sempat berjumpa terus pemilik majalah berkenaan dan memaklumkan saya akan ambil tindakan jika pihak mereka tidak memperbetulkan keadaan.
“Mujur penulis tersebut memohon maaf dan isu tersebut selesai,” katanya.

Fauziah memaklumkan dia tidak dapat membayangkan kesan dan akibat yang ditanggung keluarga mereka jika artikel itu sampai ke pengetahuan arwah ibunya.
“Ayah saya sempat membaca penulisan itu. Kami sekeluarga tidak tahu daripada mana sumber penulis itu. Yang saya faham, kalau ada dakwaan, datangkanlah saksi.
“Mujur berita itu tidak sampai ke pengetahuan ibu saya, kalau tidak pasti hatinya remuk, maka tercetuslah kekeruhan dalam keluarga kami,” kongsinya.

BUKAN HADIR UNTUK ‘MELACURKAN SENI’
Kecoh dalam media sosial apabila seorang netizen memetik nama Fauziah Ahmad Daud yang dianggapnya individu paling layak menjurikan program Gegar Vaganza musim ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Tambah kecoh lagi apabila Fauziah mengeluarkan kenyataan meminta agar individu berkenaan tidak membabitkan beliau kerana merasakan dirinya tidak layak berada di kerusi juri.
Fauziah berkata, dia bukanlah kecewa. Namun merasakan tidak perlu mengheret namanya dalam isu berkenaan kerana merasakan pandangannya dalam menjurikan program realiti tidak dihargai masyarakat
“Persoalannya, kenapa saya harus berada dalam kelompok yang tidak menghargai kejujuran saya. Saya ini berpegang kepada prinsip, bila menjurikan program nyanyian, saya tidak boleh berbohong semata-mata untuk menggembirakan hati orang lain.
“Jika menjadi juri, saya bertanggungjawab memberi kritikan yang bernas untuk membentuk penghibur yang baik, supaya mereka berpeluang mencabar diri untuk melangkah ke arah lebih tinggi.
“Tapi sayangnya ramai yang tidak melihat perkara itu ketika saya menjurikan Akademi Fantasia, kerana mereka memandang perkara itu di luar kotak seni.
“Mereka menilai seni pada sudut populariti, sementara saya tidak. Saya ini datang daripada rahim legenda seni, yang dibesarkan untuk menjadi pelakon dan penyanyi dengan cara yang keras,” katanya.

Dalam masa sama, Fauziah menafikan beliau berkecil hati atas teguran Datuk Ramli MS dalam sebuah program Gempak Superstar pada tahun 2016, malah beliau amat menghormati ramli sebagai figura berpengalaman dalam bidang muzik.
“Tidak berkecil hati sama sekali, malah saya amat menghormati Ramli atas pengalaman dan tahap intelektual beliau dalam bidang muzik.
“Tambah lagi saya tidak pernah terasa hati dengan kritikan yang saya terima gara-gara cara saya menyampaikan komen dalam program berkenaan. Mungkin cara saya menilai itu berbeza dengan orang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Fauziah merasakan fasa untuk beliau menjurikan program lakonan atau nyanyian sudah berlalu dan kini memberi perhatian kepada bengkel lakonan yang dikendalikannya sekian lama.
“Kenyataan saya tidak layak itu bukan bermaksud saya tidak layak menjadi juri. Sebaliknya, saya tidak layak berbalah dengan orang yang tidak memahami seni.
“Saya tidak hadir dalam industri untuk ‘melacurkan seni’. Sebab itu, apabila menjadi juri, saya tegas dan berprinsip dalam melontarkan komen. Hendak bercakap tentang seni, sampai abang Jamil mampus pun tak habis cerita,” ujarnya.











